PU Azihal tawar kerjasama Wide TV | Semarak Niaga


SANDAKAN – PENCETUS Ummah (PU) Azihal menawarkan bentuk kerjasama strategik bersama Semarak Niaga untuk bergerak seiring mengembangkan potensi pusat pengajian Islam yang diusahakannya di daerah ini.

PU Azihal atau nama sebenarnya, Ustaz Umar Azihal Bangsawan yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Hasanah Sabah berhasrat mengenengahkan lagi pusat pengajiannya agar bukan saja dikenali malah, mampu menjadi pusat pendidikan agama dan al Quran yang unggul serta berjaya melahirkan golongan huffaz. 

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, PU Azihal melihat penglibatan Semarak Niaga secara langsung akan menyuntik semangat serta komitmen bersama ke arah itu. 

"Saya serius mahu bekerjasama dengan Wide TV | Semarak Niaga. 

"Banyak yang boleh kita laksanakan bersama selepas ini," katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Lembaga Pengarah Semarak Niaga di Studio Semarak Niaga di Taman Tyng, Batu 6 di sini. 

Pertemuan itu adalah susulan kunjungan awal dilakukan Team Wide TV ke pejabat Darul Hasanah di Jalan Sungai Manila, Batu 12 baru-baru ini di mana PU Azihal menyatakan keinginan awalnya untuk bekerjasama. 

Menurut PU Azihal, antara bentuk kerjasama yang akan dilakukan termasuk menjadikan Wide TV sebagai rakan media, melaksanakan program korban tahunan dan melantik Semarak Niaga sebagai perunding atau rakan kongsi strategik (RKS). 

Selain itu, Azihal yang juga Ahli Lembaga Pengurusan Wakaf Negeri Sabah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mahu memetrai ikatan kerjasama itu secara rasmi selepas beliau menamatkan pengajian akhir Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan (PhD) di (KUIS) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor bulan depan.

"Menerusi kerjasama ini, kita juga bakal mengetengahkan modul bahasa Arab yang lebih komprehensif untuk dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar kami di Sekolah Menengah Integrasi Tahfiz Darul Hasanah dan Maahad Tahfiz Darul Hasanah," katanya. 

Sementara itu, Semarak Niaga menyambut baik hasrat PU Azihal dan menyifatkan kerjasama itu sebagai sesuatu yang luar biasa. 

Menurut jurucakap Semarak Niaga, pelan strategik yang menyeluruh bakal dirangka sesuai dengan keperluan PKDHS.