Bawah 12 tahun boleh masuk premis

Datuk Masidi Manjun


NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – IBU bapa yang telah lengkap dos vaksin Covid-19 boleh membawa anak dibawah 12 tahun ke premis perniagaan di Sabah, bermula hari ini.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata premis perniagaan seperti dine in bagi restoran, pusat membeli belah, hotel serta aktiviti riadah seperti berkelah kini dibuka untuk kanak-kanak dibawah 12 tahun yang ditemani ibu bapa lengkap dos vaksin Covid-19.

Manakala bagi remaja yang berumur diantara 12 sehingga 18 tahun, kebenaran yang sama diberikan kepada mereka yang sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menegaskan kepentingan pematuhan penjarakan dan peraturan walaupun kelonggaran telah diberikan kepada penduduk negeri Sabah.

“Penduduk diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan”, ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri membenarkan pergerakan rentas negeri selepas peratusan rakyat Malaysia dewasa yang telah lengkap divaksinasi mencapai 90 peratus.

Namun begitu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah akan mempertimbangkan keputusan Kerajaan Persekutuan berikutan kadar lengkap vaksin di Sabah baru mencapai 65 peratus.

Kerajaan Negeri akan memberikan jawapan esok, selepas Mesyuarat Kabinet.

Sehingga itu, Sabah masih berada didalam kawalan pergerakan perjalanan mengikut Zon.

-- BERNAMA | Utusan Malaysia | Wide TV