Bayi rentung dalam kebakaran di Jalan Dua

Kebakaran di Jalan Dua, Pusat Bandar Sandakan, semalam


NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – BAYI lelaki berusia sekitar satu tahun rentung selepas insiden kebakaran di sebuah rumah sewa di Jalan Dua, Pusat Bandar Sandakan, malam tadi.

Mengikut laporan, rumah sewa tersebut dihuni kira-kira 20 penghuni, termasuk keluarga bayi tersebut.

Mangsa yang dikenali sebagai Adam, dilaporkan rentung akibat kebakaran tersebut.

Mohd Jefferi, bapa Adam, bayi yang terkorban 

Difahamkan, ibu bapa bayi berkenaan tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku dan mangsa dikatakan dijaga oleh adik beradiknya yang lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut sekitar jam 11.09 malam.

Jelasnya, 18 anggota bergegas ke lokasi kejadian menggunakan jantera penyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak di tingkat tiga bangunan enam tingkat berkenaan.

“Pada jam 12.24 tengah malam, api berjaya dikawal dan pemeriksaan lanjut menemui bayi rentung berkenaan”, ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, mayat Adam diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke bilik mayat Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk tindakan lanjut.

Punca kejadian serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

-- Harian Metro | Wide TV