Sabah bakal tubuh Majlis Perancangan Pengurusan Sisa Pepejal

Gambar hiasan - Pantai Pasir Putih Sandakan dipenuhi sampah sarap


NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – SABAH antara tujuh negeri yang tidak memperakui Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

Demikian laporan Utusan Malaysia yang mengatakan antara punca tapak pelupusan haram wujud adalah kerana akta tersebut tidak diperakui.

Berikutan keadaan Sabah yang semakin dibanjiri sampah dan tapak pelupusan haram, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menubuhkan Majlis Perancangan Pengurusan Sisa Pepejal bagi menyediakan pengurusan sisa pepejal dengan lebih terurus.

Selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk menguatkuasakan Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal 2020 yang dijangka akan dibawa ke dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata keputusan kerajaan negeri untuk tidak menggunapakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 kerana pengurusan sisa pepejal adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri dibawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Tambahnya, kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memastikan pelupusan sampah yang sistematik dapat diwujudkan.

“Kedua-dua kementerian ini sedang bekerjasama dalam satu kajian kemungkinan bagi melihat kesesuaian dan keberkesanan penggunaan teknologi mini incinerator atau pembakaran sampah.

“Ini antara alternatif yang boleh diguna pakai untuk mengurangkan sampah dibuang ke pusat tapak pelupusan sampah”, ujarnya.

Jelasnya, penubuhan Majlis Perancangan dan Pengurusan Sisa Pepejal akan menjadi pemandu arah bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai agensi pelaksana untuk menguruskan sisa pepejal dengan lebih teratur.

Pengurusan sisa pepejal dengan lebih teratur akan mendorong konsep 3R; Reuse (guna semula), Reduce (kurangkan) and Recycle (kitar semula) dalam usaha mengurangkan sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah.

-- Utusan Malaysia | Wide TV