"Maaf, doakan saya" - Calvin Chong

  

(Dari kiri) Justin Wong, Calvin Chong dan Adrian Lasimbang akan kekal sebagai ADUN Bebas buat masa ini. - Gambar FMT

AMRULLAH ABDUL KARIM 
amrullah@semarakniaga.com.my 

SANDAKAN - EMOJI '🙏🙏🙏' yang dihantar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N55 Elopura, Calvin Chong Ket Kiun menerusi aplikasi WhatsApp kepada seorang rakannya hari ini mungkin membawa maksud 'meminta maaf atau meminta untuk didoakan'. 

Hantaran mesej itu merujuk kepada laporan sebuah portal yang mengatakan bekas Naib Pengerusi DAP Sandakan itu telah mengumumkan keluar daripada DAP Sabah malam tadi. 

Jawapan ringkas itu diberikan sebagai maklumbalas terhadap laporan berita berkenaan yang turut memaparkan wajah seorang lagi ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin dan bekas senator, Adrian Lasimbang

Menurut portal tersebut, tindakan tiga bekas pemimpin DAP itu diambil berikutan kegagalan parti melaksanakan perjuangan membela nasib rakyat Sabah, selain hilang kepercayaan terhadap parti yang dipimpin Pengerusinya, Datuk Frankie Poon Ming Foon yang juga ADUN N56 Tanjung Papat

Hantaran WhatsApp Calvin kepada rakannya hari ini.

"Kami memulakan kerjaya politik masing-masing demi berjuang untuk Sabah, termasuk bagi lebih autonomi, infrastruktur yang lebih baik, malah lebih penting lagi, masyarakat inklusif yang mengatasi bangsa dan agama. 

“Malangnya kami tidak mencapainya menerusi DAP Sabah,” kata mereka dalam kenyataan bersama. 

Parti itu turut didakwa sudah hilang arah selain mengalami perbalahan dalaman dan masalah komunikasi teruk di antara pemimpinnya. 

"Justeru, dengan berat hati kami mengumumkan akan meninggalkan DAP berkuat kuasa serta-merta," kata mereka lagi.

Ditanya sama ada mereka akan berbaik dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Wong yang dilantik ahli jawatankuasa dalam pemilihan parti DAP Sabah baru-baru ini berkata, mereka hanya akan menjadi ADUN Bebas. 

“Kami menganggap wujud keperluan mendesak bagi memilih platform lebih sesuai yang mampu membuka ruang untuk kami berkhidmat dengan lebih baik untuk negeri tercinta ini. 

“Saya tidak mahu membincangkan ke mana akan kami pergi buat masa ini, cukuplah kami katakan mahu berkhidmat untuk rakyat Sabah,” katanya.

Susulan tindakan yang diambil dua ADUN berkenaan, DAP Sabah kini hanya mempunyai empat ADUN iaitu Frankie (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas). 

Ahli Parlimen parti itu pula adalah Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Vivian Wong Shir Yee (Sandakan) dan Noorita Sual (Tenom). 

-- WIDE TV | FMT | AWANI

Catat Ulasan

0 Ulasan