"Dah 4 kali Perdana Menteri bertukar, tapi jalan masih tak siap" 

 

Keadaan projek menaiktaraf Jambatan Batang Kali yang tertangguh hampir 5 tahun.

AMRULLAH ABDUL KARIM 
amrullah@semarakniaga.com 

HULU SELANGOR - KELEWATAN projek menaiktaraf Jambatan Batang Kali sememangnya mengundang pelbagai reaksi daripada penduduk setempat. 

Rata-rata penduduk dan pengguna jalan raya sudah 'menyampah' dengan keadaan itu kerana tertangguh sekian lama tanpa sebab yang jelas. 

Malah, bukan penduduk Batang Kali saja yang terpaksa berhadapan dengan kesesakan di laluan itu setiap hari, tetapi orang luar juga terkesan dan sudah tidak sanggup melalui jalan tersebut. 

Tinjauan WTV Media News mendapati peniaga di kawasan berdekatan turut terkena tempias sehingga menjejaskan perniagaan mereka. 

Kesesakan berlaku setiap hari.

Pekerja bengkel kereta di Jalan Jati Utama, dikenali sebagai Keat, 32, berkata, pelanggan sukar melihat bengkel mereka kerana terhalang oleh tambakan tanah dari kawasan projek itu. 

"Pelanggan sukar tengok (bengkel) sebab paras jalan tinggi menyebabkan pelanggan berkurangan. 

"Selain itu, bengkel kotor dab habuk juga banyak. 

"Kalau projek ini siap mengikut jadual tidak la jadi begini keadaan kami," katanya. 

Bengkel terhalang, kotor dan berdebu.

Bagaimanapun, katanya kerja-kerja di kawasan itu sudah nampak sedikit pergerakan sejak Mac lalu dan difahamkan projek itu akan siap sebelum sambutan tahun baru China tahun depan. 

Pemandu e-hailing, Hisham Yahya berkata, dia tiada pilihan selain terpaksa menempuh kesesakan di laluan itu setiap hari untuk menghantar penumpangnya. 

"Saya antara orang yang mengkritik keras isu kelewatan projek ini sebab menyusahkan rakyat. 

"Lama sangat tergendala dan tak nampak apa pun kerja dibuat sampai tanah di kawasan itu sudah naik keras," katanya. 

Menurutnya, terdapat laluan alternatif untuk menghantar penumpang ke kawasan Serendah, Rawang dan Bukit Beruntung iaitu dengan melalui Jalan Hulu Kalung dan keluar di persimpangan Jalan Hulu Yam Lama. 

Bagaimanapun, mereka tiada pilihan jika menerima penumpang yang hendak ke Rasa, Kuala Kubu Bharu (KKB) dan Hulu Bernam. 

Menurut seorang lagi pemandu e-hailing dari Ampang, Looi Yuen Kooi telah beberapa kali menghantar penumpang ke KKB dan pasti akan terkandas di dalam kesesakan bila melalui kawasan tersebut. 

"Saya tengok macam tidak gerak saja sebab saya ada beberapa kali hantar penumpang sini, sampai KKB pun ada. 

"Masa hantar ok sikit saja jem... tapi risau masa balik pasti tersekat dalam jem," katanya. 

Sementara itu, tinjauan isu sama menerusi laman sosial facebook mendapati kebanyakan komen yang dilontarkan membuktikan penduduk Hulu Selangor tidak berpuas hati melihat perkembangan projek tersebut. 

Emylynn Shakira berkata, seakan tiada siapa memandang serius masalah itu walaupun beberapa kali dibangkitkan.


Komen penduduk di laman sosial facebook berhubung isu tersebut.

"Entah dh bpe rmai dok bersuara psl ni tpi lngsung tkde tindakkan😂 pkerja situ pun kdg2 je muncul pstu ilang 🤣," katanya. 

Mirul Tokoh pula melihat keadaan itu sudah berlarutan hampir lima tahun namun tiada sebarang perubahan. 

"Nak dekat 5 tahun rasa nya macam ini sahaja😂 sampai  kawan aku da khwin ada anak dua kot 🤭😂 takan nak tggu kawan aku da ada 5 anak tapi belum siap jugak 😂🤣 itu." Katanya. 

Komen Samsul Sam Asmara antara yang menarik perhatian kerana projek pelebaran jalan itu 'paling hebat' kerana tergendala dalam tempoh peralihan empat Perdana Menteri (PM). 

"Projek paling hebat, dah 4 PM tapi belum siap." Katanya. 

-- WIDE TV 

Catat Ulasan

0 Ulasan