AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - NASIB lima beranak yang tular selepas usahanya meminta bantuan RM1 daripada warga Sandakan untuk mengumpul dana membina semula rumahnya yang sudah roboh, semakin mendapat perhatian.
Keluarga Izyani, 30, bersama empat anaknya berusia 8, 7, 5 dan 2 tahun yang masih menumpang di rumah jirannya bakal dibantu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pertubuhan Ummah Ikram Muslimin Sabah (Baitul Ummah) antara NGO terawal yang terpanggil untuk membela nasib keluarga tersebut dan bersedia membina semula pondok baru.
Pengerusinya, Jumadil Andi Sekandar berkata, beliau melihat laporan di wtvmedianews.com berhubung keadaan keluarga tersebut dan tampil menghulurkan bantuan.
"Kita akan bantu keluarga Izyani bina semula pondok baru di atas tapak yang sama dan struktur sedia ada.
"Semua bahan binaan diperlukan seperti papan untuk dinding dan lantai termasuk tamban zink untuk atap rumah akan kami sediakan.
"Kerja pembinaannya nanti kita lakukan bersama penduduk setempat," katanya selepas melawat keluarga terbabit bersama Wide TV hari ini.
Pondok kecil yang roboh sebelum ini akan dibaiki dengan bantuan Baitul Ummah.
Jumadil berkata, Baitul Ummah juga akan memberi bantuan keperluan makanan asas kepada keluarga Izyani.
Selain itu, anak sulung Izyani yang berusi lapan tahun akan dijadikan anak angkat bagi tujuan pendidikan di mana-mana pusat pengajian tahfiz yang bersesuaian di sekitar Sandakan.
Menurutnya, segala kos pengajian akan ditanggung sepenuhnya oleh pertubuhan itu.
"Kita akan berhubung dengan pihak bewajib untuk membantu keluarga ini keluar ke kawasan lebih selesa.
"Jika dilihat keadaan dan keperluan keluarga ini, saya rasa mereka layak untuk mendiami rumah Program Perumahan Rakyat (PPR)," katanya.
-- Wide TV