amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - FENOMENA air laut pasang besar yang berlaku ketika ini menuntut warga Sandakan khususnya di kawasan penempatan atas air supaya berwaspada dengan sebarang kemungkinan yang berlaku.
Ketinggian air pasang yang ketika ini mencecah 2.6 meter dijangka meningkat sehingga melepasi paras 2.8 meter.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N53 Sekong, Alias Sani berkata, penduduk dinasihatkan supaya berhati-hati dan bersedia mengahadapi fenomena itu.
"Kepada semua warga Sekong yang tinggal di pesisir pantai adalah diingatkan agar berwaspada lantaran fenomena air pasang pada ketika ini.
"Air dijangka akan melepasi paras 2.8 meter.
"Semoga semuanya baik-baik sahaja dan Allah SWT lindungi. Allahul musta'an," katanya dalam entri facebooknya.
Sementara itu, menerusi perkongsian di facebook Osman Tiakok, beliau turut menyatakan perkara sama berlaku di kawasan Kampung Tinusa 2 dan paras air laut yang akan mencecah 2.8 meter hari ini dijangka berterusan selama tiga hari.
"Malam ini (kelmarin) air pasang dalam berukuran 2.6 meter.
"Bermula esok (hari ini) air pasang dalam berukuran 2.8 meter selama 3 hari. Semoga tiada ombak besar berlaku," katanya.
Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku akibat perubahan monsun timur laut yang mampu mengakibatkan air laut bergelora.
Tinjauan keadaan terkini di kawasan penempatan atas air di Kampung Tinusa 2 turut dilakukan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung berkenaan, Sahiba Atika bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Libaran, Shariff Ismarhafiz bagi melihat sendiri keadaan fenomena tersebut.
-- Wide TV
0 Ulasan