MTNQDI, Semarak Niaga menyertai | Gerakkan wakaf bina maahad tahfiz

 SANDAKAN – JARANG sekali sebuah institusi pengajian al Quran bergabung bersama syarikat swasta di daerah ini dalam menggerakkan aktiviti dakwah. 

Namun, itu yang berlaku apabila Maahad Tahfiz Nurul Quran Darul Ilmi (MTNQDI) melantik Semarak Niaga sebagai rakan kongsi strategik (RKS). 

MTNQDI meletakkan amanah itu setelah meneliti kemampuan Semarak Niaga daripada pelbagai aspek termasuk keupayaan dalam kerjasama menggerakkan aktiviti dakwah bukan saja secara fizikal malah menerusi platform digital. 

Pengerusi MTNQDI, Ustaz Mulyadi Haji Kasimin berkata, umum menyedari mengenai keterbatasan institusi pengajian al Quran di negara ini termasuk maahad tahfiz yang diusahakannya terutama dalam menyediakan pusat pembelajaran yang lengkap dengan prasarana diperlukan. 

“Sebab itulah kita menjalin usahasama ini bersama Semarak Niaga dengan harapan segala hasrat serta perancangan MTNQDI ke arah memiliki sebuah kompleks maahad tahfiz yang sempurna tercapai. 

“Kita memiliki sebuah tanah wakaf seluas satu ekar di Gum Gum, Batu 16, Sandakan yang sudahpun diratakan dan mengikut perancangan kita akan bangunkan sebuah bangunan maahad tahfiz yang lengkap dengan kelas pengajian, pejabat pentadbiran, bilik guru, asrama pelajar, dewan, musolla atau surau serta keperluan lain. 

“Justeru, sebagai RKS kita mengharapkan Semarak Niaga dapat bersama-sama merealisasikan hasrat murni ini seterusnya meneruskan kesinambungan perjuangan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan al-Quran melalui usaha kami melahirkan huffaz,” katanya. 

Menurut Ustaz Mulyadi yang juga Imam Kariah Masjid Nurussyakirin, Taman Indah Jaya, perjanjian persefahaman telah dimeterai antara kedua belah pihak dan kini usaha pengumpulan wakaf menerusi Program Kutipan Wakaf Umum Secara Tunai bagi menjayakan pembinaan keperluan fasiliti MTNQDI telah digerakkan secara berperingkat. 

Sementara itu, jurucakap Semarak Niaga memaklumkan, program tersebut dilaksanakan mengikut empat fasa strategik bermula sejak April lalu dan dijadual berkahir pada September 2022. 

Program tersebut turut didokong dengan penganjuran pelbagai aktiviti dakwah dan amal kebajikan yang akan melibatkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan swasta, korporat termasuk penglibatan golongan pendakwah. 

Catat Ulasan

0 Ulasan