'Dada ditemui selamat...'

 



AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - ENAM hari menghilang akhirnya Dyg Norhayati Haji Adin, 19, pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat sebentar tadi.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N53 Sekong, Alias Sani selepas melawat keluarga Dyg Norhayati atau Dada di rumah mereka di Kampung Lupak Meluas Darat, Karamunting, di sini.

Alias melahirkan rasa syukur kerana usaha pencarian Dada selama ini menemui pengakhiran seperti diharapkan.

"Selepas Maghrib tadi, lebih kurang jam 7 malam saya dimaklumkan oleh keluarganya bahawa adik Dyg Norhayati sudah pulang ke rumah dengan selamat.

"Saya diberitahu, adik Dyg Norhayati ditemui di kawasan Batu 7 dan dia meminta tolong seseorang untuk menghantarnya pulang ke rumah.

"Sebaik menerima maklumat itu saya terus datang ke rumahnya untuk melihat sendiri sama ada betul adik Dyg Norhayati sudah pulang dan ternyata memang dia ada dan dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi Wide TV.

Dyg Norhayati dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah sejak petang Isnin lalu selepas dikatakan keluar ke sebuah kedai di kawasan flat MPS, Karamunting.

Maklumat akhir mengenai dirinya ketika itu dikatakan berpakaian jersy berwarna biru, lengan panjang dan tudung shawl warna pink belacan.

Dalam pada itu, Alias berkata, sejak berita mengenai kehilangan Dada Isnin lalu sampai ke pengetahuannya, beliau terus melakukan solat hajat bagi mendapatkan petunjuk sebelum menemui keluarga wanita tersebut.

Malah, beliau turut membentuk pasukan yang dipecahkan kepada dua peranan untuk mendapatkan maklumat dan gerakan mencari.

Beliau juga telah membuat hebahan kepada umum di media sosial dalam usaha menjejaki Dyg Norhayati.

"Peranan kami sampai pergi ke dua pusat khidmat telekomunikasi bagi menjejaki peranti yang digunakan adik Dyg Norhayati.

"Alhamdulillah, kerjasama seluruh keluarga dan pihak berkuasa akhirnya berjaya menjejakinya sehingga ke Beluran," katanya.

Ditanya mengenai keadaan Dyg Norhayati, Alias berkata, keluarganya ada meminta untuk beliau menemui sendiri anak mereka namun menolaknya bagi memberi ruang wanita itu berehat.

Katanya, apa yang penting bagi beliau adik Dyg Norhayati sudah pulang dan berada dalam keadaan selamat.

Alias turut merakam penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari wanita tersebut.

"Saya tidak dapat sebutkan semua tapi yang pasti ramai membantu dalam usaha ini termasuk pihak ladang di Beluran, Polis Diraja Malaysia dan tidak ketinggalan Wide TV dalam melaporkan mengenai perkembangan usaha yang kami gerakkan.

"Sebagai wakil rakyat, kesusahan bagi seorang penduduk di DUN ini adalah tanggungjawab YB Sekong," ujarnya.

-- Wide TV