'Dada sudah balik, cerita palsu'

 


AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - CERITA kononnya adik Dyg Norhayati, 19, atau Dada sudah pulang ke rumah adalah palsu.

Perkara itu disahkan sendiri oleh bapa saudaranya ketika dihubungi Wide TV sebentar tadi.

Menurutnya yang enggan dikenali, anak buahnya itu masih belum pulang dan maklumat mengenai penemuannya adalah palsu.

"Dia belum balik lagi, itu cerita palsu," katanya.

Menurut beliau, seluruh ahli keluarganya masih berikhtiar mencari Dada melalui sumber maklumat yang terdekat.

Beliau juga tidak menafikan mungkin kerana rindu dan harapan mahu adik Dada pulang menyebabkan penduduk kampung tidak berhenti bercerita mengenainya sehinggakan tersebar maklumat yang tidak tepat.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N53 Sekong, Alias Sani turut memaklumkan mengenai perkhabaran yang sama.

"Waalaykumsalam..blum lg." Katanya menerusi balasan mesej whatsapp Wide TV pagi tadi.

Beliau sebelum ini meminta warga Sandakan menghebahkan maklumat mengenai kehilangan Dyg Norhayati dan memberi jaminan untuk membantu dalam usaha mencari mangsa.

Isnin lalu, Dyg Norhayati dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar dengan pakaian jenis jersy berwarna biru, lengan panjang dan tudung shawl warna pink belacan.

Kali terakhir dia dilihat berada di sebuah kedai di kawasan flat MPS, Karamunting pada petang hari kejadian.

Alias turut meminta kerjasama semua agar menghubungi pembantunya, Waimin Manjabil di talian 0138831757 sekiranya mempunyai maklumat berhubung penemuan wanita tersebut.