Esok masih PKP, sampai selesai...

 


AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Pertama dilanjutkan sehingga kes harian Covid-19 kurang daripada 4,000 kes.

Tiada tempoh tepat bagi pelanjutan fasa pertama itu dan segalanya bergantung kepada disiplin semua pihak untuk bersama-sama memastikan sasaran di bawah 4,000 kes harian tercapai.

Dalam kenyataan terbaru Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, beliau memaklumkan PKP tidak akan tamat esok tetapi masih diteruskan sehingga kriteria sasaran untuk beralih ke fasa berikutnya dipenuhi.

"PKP tidak tamat esok, fasa pertama terus sehingga nilai ambang kurang 4,000 kes.

"Fasa pertama PKP 3.0 kekal sehingga ketiga-tiga indikator dalam Pelan Pemulihan Negara dicapai," katanya dipetik menerusi Bernama.

Beliau juga dilapor berkata, kerajaan akan mengumumkan bantuan lebih menyeluruh kepada semua kumpulan masyarakat pada Isnin atau Selasa ini.

PKP 3.0 mula dikuat kuasakan pada 1 Jun lalu untuk dua minggu pertama kemudian dilanjutkan sehingga esok, 28 Jun.

Berdasarkan Pelan Pemulihan Negara, kriteria utama untuk memasuki Fasa 2 adalah:

- Kes harian Covid-19 di bawah 4,000;
- Kapasiti katil Unit Rawatan Rapi (ICU) berada pada tahap sederhana; dan
- 10 peratus rakyat Malaysia sudah diberi vaksin sepenuhnya.

Manakala peralihan ke Fasa 3 hanya akan berlaku jika:

- Purata kes harian tidak lebih 2,000;
- Kapasiti ICU mencukupi; dan
- 40 peratus rakyat Malaysia mendapat dos vaksin penuh.

Sasaran tersebut dijangka dapat dicapai pada bulan September.

-- Bernama | MalaysiaKini