Jafry sokong SOP Hajiji


AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - MENTERI Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyokong pendirian Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berhubung keputusan kerajaan negeri melonggarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi di Sabah.

Menurutnya, keputusan itu merupakan satu langkah awal pemulihan ekonomi di negeri Sabah menerusi pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mengekalkan sebahagian besar Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Mungkin ini masa yang tepat untuk kerajaan melihat semula SOP yang dibuat dan mula membenarkan aktiviti yang boleh dan sesuai mengikut keadaan semasa," katanya dalam Kenyataan Media hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kewajaran kerajaan negeri mengikuti SOP yang telah ditetapkan kerajaan pusat.

Ismail berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya membuat SOP yang berbeza ketika negara masih berusaha memerangi Covid-19.

Jafry dalam pada itu menegaskan, keputusan Ismail sebagai tidak adil memandangkan hanya beberapa negeri sahaja menjadi menyumbang peningkatan kes.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, sehingga semalam kes Covid-19 di Sabah sudah menunjukkan penurunan walaupun belum sampai ke tahap selamat.

Pada Isnin, Hajiji mengumumkan untuk membenarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi beroperasi semula sepanjang dua minggu Fasa 1 PKP 3.0.

Antara yang dibenarkan termasuk makan di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel, gerai-gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan raya serta kedai gunting rambut.

Selain itu, aktiviti pembuatan dan perkilangan juga turut dibenarkan beroperasi dan akan diperluaskan kepada getah, simen dan cat, selain kilang berasaskan kayu dan perabot.

Justeru katanya, perkara yang perlu diambil perhatian pada masa ini adalah penguatkuasaan peraturan dan SOP yang telah ditetapkan agar seiring dengan usaha kerajaan dalam memerangi Covid-19.

-- Wide TV