Kerajaan pusat perlu hormat keputusan Sabah


AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - KERAJAAN Persekutuan wajar menghormati keputusan negeri Sabah dalam menentukan Prosedur Operasi Standard (SOP) di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Jaffari Waliam berkata, keputusan yang telah dibuat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam menentukan SOP di Sabah sudah pasti mengambil kira semua aspek dan melibatkan kepentingan rakyat.

"Saya menyokong penuh keputusan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah untuk melaksanakan pelonggaran SOP untuk negeri Sabah.

"Pelan pemulihan bagi negeri Sabah seharusnya disesuaikan mengikut keadaan negeri ini dan bukan di Semenanjung kerana keadaan di sini adalah berbeza dengan negeri-negeri di sana," katanya dipetik daripada facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan harus fokus kepada pemulihan negeri bagi merancakkan kembali sektor ekonomi.

"Saya yakin, Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah telah mempertimbangkan semua aspek bagi pelaksanaan SOP ini," ujarnya.

Menerusi entri facebook tersebut, Jaffari turut memuatkan imej Hajiji dengan slogan kata 'Rumah Kita, Kita Jaga!' Dan hashtag We Stand With CM, Tetap Teguh Bersama KM.

-- Wide TV