amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - PENDUDUK di tujuh perkampungan termasuk seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila diseru agar lebih berhati-hati ekoran wujud kluster Covid-19 di Kampung (Kg) Nelayan Tengah, Batu 10.
Perkara itu dimaklumkan oleh ADUN Sungai Manila, Mokran Ingkat menerusi facebook rasmi beliau malam tadi.
Mokran berkata, tujuh perkampungan tersebut adalah Kg Pampang, Kg. Sg. Batang, Kg. Sibugal Besar, Kg. Gayan, Kg. Sg. Buaya, Kg. Sentosa dan Kg. Pangkalan Sg. Manila.
"Saya menyeru penduduk di kampung terlibat dan kampung-kampung berhampiran serta seluruh penduduk dalam kawasan DUN Sungai Manila supaya lebih berhati-hati, sentiasa mematuhi S.O.P yang ditetapkan kerajaan dan mengurangkan pergerakan keluar rumah.
"Mudah-mudahan tindakan kita semua dapat membendung penularan virus Covid-19," katanya.
Beliau turut menasihati rakyat dalam kawasannya supaya segera mendaftar sebagai penerima vaksin.
Katanya, pendaftaran vaksinasi boleh dibuat di Pusat Kesihatan Sungai Manila, Pekan Muhibbah, Batu 12, berdekatan Pusat Khidmat Masyarakat DUN N51 Sungai Manila.
"Mana-mana yang belum dapat suntikan vaksin, daftarlah.
Anda boleh datang terus ke Pusat Kesihatan Sungai Manila, Pekan Muhibbah, Batu 12," ujarnya.
-- Wide TV