Suhaimi puji inisiatif imam Mulyadi

 


AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - INISIATIF Imam Masjid Nurussyakirin, Taman Indah Jaya mewujudkan pusat tahfiz mendapat pujian pemimpin masyarakat setempat.

Bangunan baru Maahad Tahfiz Nurul Quran Darul Ilmi (MTNQDI) yang akan dibangunkan di atas tanah wakaf seluas satu ekar di Gum-Gum, Batu 16, dilihat mampu melahirkan generasi al-Quran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Suhaimi Nasir berkata, pemilihan kawasan pinggir bandar seperti Gum-Gum juga dilihat amat tepat dan impak curahan ilmu keagamaan akan dirasai penduduk sekitar.

"Saya sudah lama mengenali imam Mulyadi dan hasratnya untuk mendirikan pusat tahfiz juga pernah disuarakan sebelum ini.

"Bila beliau mengatakan pusat tahfiz itu mahu dibuat di sini, saya lagi hargai dan akan memberi sokongan sepenuhnya," katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan MTNQDI hari ini.

Lawatan itu turut dihadiri Imam Masjid Nurussyakirin yang juga Pengerusi MTNQDI, Ustaz Mulyadi Kasimin (UMK).

Suhaimi sebelum itu turut mengadakan lawatan ke Kampung Bim Bim bagi meninjau tapak cadangan penyediaan tanah perkuburan Islam di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran berpendapat, kedudukan pusat tahfiz itu yang berada dalam kawasan lembah amat menenangkan dan baik untuk aktiviti pembelajaran.

"Kawasan ini sangat sesuai (untuk pembinaan pusat tahfiz), pesekitarannya yang tenang dan bersebelahan kawasan tadahan air.

"Amat baik untuk aktiviti pembelajaran dan pengajian al-Quran," katanya.

Ujarnya, beliau ingin melihat pusat tahfiz tersebut dapat dibina mengikut perancangan dan sesuai dengan keperluan pelajar.

Sementara itu, UMK berkata, beliau menghargai kesediaan Suhaimi melawat tapak pembinaan MTNQDI itu.

Menurutnya, pandangan serta nasihat yang diberikan wakil rakyat tersebut akan dimanfaatkan sebaiknya.