'Telur ayam saja bah...'

 



AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - PASAL gambar telur ayam saja sudah bikin pesaing politik 'gatal tangan' membuat cerita dan tuduhan tidak berasas.

Apa lagi jika cerita itu dikaitkan dengan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sememangnya tidak kering dari topik perbualan harian rakyat yang sentiasa menantikan perkembangannya.

Memang viral cerita dan gambar pasal telur ayam dalam minggu ini kerana ada yang mendakwa imej itu kononnya telur penyu.

Bagi Bung, semua itu hanya taktik jelek individu yang 'kehabisan modal' dan gemar bermain politik.

"Kalau kail hanya sejengkal Lautan dalam jangan dicuba ya," pesan Bung kepada individu yang menyerangnya di media sosial.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, gambarnya bersama seorang lelaki dikenali sebagai Rapidcdorezo ketika menikmati hidangan telah disunting pihak tidak bertanggungjawab bertujuan menjatuhkan karier politiknya.

Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pengguna media sosial yang mengaitkan kesalahan terhadap dirinya, Bung meminta mereka yang terlibat dengan taktik kotor itu agar segara menghentikannya.

“Itu bukan telur penyu tetapi telur ayam yang sudah direbus dan dikupas.

"Saya juga bukan penggemar telur penyu sebab kandungan kolesterol yang tidak baik untuk kesihatan saya," katanya.

Bung juga sedia dipanggil pihak berwajib untuk siasatan berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah berhubung dengan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk menyiasat perkara berkenaan.

Pengambilan telur penyu di negeri ini adalah dilarang di bawah Enakmen Hidupan Liar Sabah 1997.

- Deasoka | Sabah Gazette