AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - DUA penjenayah tidak menyedari mereka terperangkap di dalam sebuah rumah ketika melakukan rompakan.
Kegiatan mereka yang mencurigakan disedari oleh jiran rumah terbabit dan bertindak pantas menghubungi pihak polis.
Polis yang menerima maklumat itu bergegas ke lokasi kejadian di Taman Suria dekat sini sebelum memberkas kedua-dua suspek terbabit.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek mendapati beberapa peralatan termasuk besi pengumpil turut dijumpai dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan pecah rumah.
"Hasil pemeriksaan beberapa alat pecah rumah dan dadah jenis Methaphetamine turut dijumpai bersama mereka ketika ditahan.
"Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, pihak PDRM Sandakan percaya dapat menyelesaiakn beberapa kes pecah rumah dan curi kabel lain, yang turut dilakukan oleh suspek ini," katanya.
Beliau berkata demikian seperti dipetik menerusi hantaran facebook Polis Daerah Sandakan hari ini.
Dadah jenis Methaphetamine ditemui pada suspek
Dalam pada itu, Mohd Azhar melahirkan penghargaan kepada pengadu dalam kejadian tersebut yang merupakan seorang penjawat awam di atas tindakan pantasnya menyalurkan maklumat berkaitan kes pecah rumah sehingga tertangkapnya suspek.
Sehubungan itu, beliau berbesar hati menyampaikan sendiri surat penghargaan kepada penjawat awam terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan siang tadi.
-- Wide TV
0 Ulasan