2 remaja ditangkap 'bakar' I ♥ SANDAKAN

 

Keratan wtvmedianews.com mengenai kejadian itu.

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - DUA remaja lelaki dan perempuan ditahan bagi membantu siasatan kes berkaitan kegiatan membakar mercu tanda I ❤ SANDAKAN di dataran Piaza Harbour Mall.

Penahanan remaja berusia 14 dan 13 tahun itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Sandakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin dalam perkongsian di facebook rasmi Polis Daerah Sandakan hari ini berkata, kedua-dua suspek terbabit ditahan di kawasan Bandar Sandakan.

"Kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan kes khianat dengan membakar signboard "I LOVE SANDAKAN" di dataran Harbour Mall di sini, pada 21 Julai lepas.

"Mereka kini ditahan reman sehingga 6 Ogos 2021," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun  Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kenyataan di facebook Polis Daerah Sandakan 

Azhar turut menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka bagi mengelak terdedah dan terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah.

Semalam, wtvmedianews.com melaporkan mengenai video yang tular memaparkan kejadian struktur papan tanda I ❤ SANDAKAN terbakar pada waktu malam.

Wide TV difahamkan kejadian itu bukan baru berlaku, tetapi telah berlaku minggu lalu namun video berdurasi lapan saat itu mula tular sejak semalam.

Berdasarkan kenyataan pihak polis, kejadian sebenar disyaki berlaku pada Rabu lepas.

-- Wide TV

Catat Ulasan

0 Ulasan