AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - INISIATIF wakaf yang digerakkan Maahad Tahfiz Nurul Quran Darul Ilmi (MTNQDI) mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N53 Sekong, Alias Sani.
Alias yang mesra dengan panggilan cikgu mengetahui hasrat pengerusi maahad tahfiz itu, Ustaz Mulyadi Kasimin (UMK) sedang merancang pembinaan sebuah bangunan baru di atas tanah wakaf di kawasan Gum-Gum.
Cikgu Alias juga cukup mengenali UMK bukan saja sebagai Imam Masjid Nurussyakirin, Taman Indah Jaya malah mereka adalah sahabat sejak dulu lagi.
Sebagai sahabat, beliau merasakan ada tanggungjawab untuk membantu UMK dalam usaha mendapatkan dana wakaf tersebut.
"Menghulurkan sumbangan kepada pembinaan Mahad Tahfiz Nurul Quran Darul Ilmi kepada sahabat karib saya tuan mudir Tuan Imam Mulyadi.
"Sekiranya ada ganjaran pahala dan kebaikan dari ini maka ku khususkan untuk ibubapaku istriku abangku anakku iparku dan kaum keluargaku yang telah pergi dan juga untuk kaum keluarga ku yang masih bersamaku.
"Dan juga ku khususkan untuk setiap warga Sekong yang telah mendokongku secara nyata atau sembunyi sejak dari PRN Sabah Sept lalu shingga kini," katanya menerusi entri facebooknya hari ini.
Di dalam hantaran itu beliau memuatkan gambar penyerahan sumbangan wakaf tunai kepada UMK di perkarangan Masjid Nurussyakirin.
Sementara itu, Mulyadi yang mengasaskan MTNQDI sejak Januari 2015 menzahirkan penghargaan di atas sumbangan wakil rakyat tersebut.
"Terima kasih YB Cikgu Alias Haji Sani diatas kesudian membantu dan menyumbangkan dana wakaf tunai untuk pembangunan Maahad Tahfiz Nurul Quran Darul Ilmi (#MTNQDI) yang akan dibangunkan diatas tanah wakaf seluas 1 ekar di Batu 16, Gum-Gum Sandakan." Katanya dalam perkongsian hantaran facebook peribadinya.
-- Wide TV