Ebit bakal keluar saman

Ebit Lew live menerusi instagram


NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – EBIT Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew menyangkal segala tuduhan yang dilemparkan ke atasnya menerusi sesi instagram live di akaunnya sebentar tadi.

Pendakwah terkenal tanah air itu menjawab soalan-soalan yang ditujukan kepadanya oleh Caprice dan Nadir Al Nuri melalui posting di media sosial berikutan perjalanannya ke bumi Palestin Jun lalu.

Antara pertuduhan yang dikenakan terhadapnya ialah tidak menjelaskan sumber sumbangan yang digunakan di Gaza, bersikap dingin atau biadap terhadap Nadir Al Nuri, Ketua Pegawai Eksekutif pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia, menggunakan laluan lain untuk masuk ke Gaza dan membayar ratusan ribu, membawa lari dokumen dan mencium kaki orang-orang tertentu agar dapat masuk ke bumi Gaza.

Ebit menjelaskan pertanyaan Nadir tentang sumber kewangan yang beliau gunakan untuk membantu penduduk Palestin.

“Saya pakai duit sendiri, penginapan pun saya pakai duit saya sendiri.

“Dia (Nadir) menyangka saya bawa duit (sumbangan) Malaysia, saya tak pernah buka tabung Gaza,” katanya.

Jelasnya, duit yang digunakan sepanjang misi bantuan itu adalah duit sendiri, serta sumbangan dari sahabat-sahabat rapatnya yang ikut serta dalam misi tersebut.

Beliau kemudiannya menujukan soalan semula kepada Nadir tentang kutipan bernilai RM20 juta melalui sumbangan NGO dan rakyat Malaysia.

“Di mana duit RM20 juta itu, ada bukti?” Soal Ebit.

Bila ditanya tentang isu tidak tegur atau salam Nadir semasa sampai ke Gaza pada 1.30 pagi, Ebit menjawab bahawa beliau tidak perasan dan bergegas untuk menunaikan solat jamak.

“Mahu masuk Gaza, kena lalu 21 jam, 21 checkpoint dan diiringi 12 kereta kebal.

“Saya pun cepat-cepat pergi solat dan terus ke hotel, saya pun tak sempat tengok atau perasan (tentang isu Nadir),” ujarnya.

Mengenai isu larangan live pula, Ebit menjelaskan bahawa beliau memang tidak membenarkan sesiapa untuk membuat siaran langsung ketika misi bantuan kerana risau tentang risiko yang akan menimpa beliau dan pasukan yang ada bersamanya.

Ebit kemudiannya menekankan bahawa tuduhan Nadir membayar ratusan ribu dan menyusahkan NGO lain untuk masuk ke Gaza tidak berasas.

Beliau menegaskan laluan masuk ke Gaza mengikut kelulusan kerajaan Mesir dan mendapat bantuan daripada Kedutaan Malaysia serta Wisma Putra.

Ebit menjelaskan kelulusan yang diperoleh daripada kerajaan Mesir merupakan kelulusan pertama, namun tidak dapat kelulusan tentera.

“Selepas kelulusan tentera tidak dapat, kami hubungi kedutaan dan Wisma Putra sebab ingin balik ke Malaysia, tetapi dikenalkan dengan Ejen Perisikan Tentera Mesir.

“Dengan bantuan mereka, kami masuk melalui Lucky Tour yang mengenakan bayaran sebanyak 2,500 Dollar bersamaan RM10,000 seorang,”

Jelasnya perbandingan harga yang jauh lebih murah daripada laluan yang disarankan menyebabkan mereka memilih untuk mengikuti Kedutaan Malaysia dan Wisma Putra.

Tambahnya lagi, Lucky Tour telah menghubungi Kedutaan Malaysia untuk meminta bantuan agar 200 NGO dapat masuk ke Gaza untuk misi bantuan.

Apabila ditanya tentang isu Caprice pula, Ebit menidakkan tuduhan-tuduhan ke atasnya dalam posting Caprice di instagramnya.

“Caprice tulis dekat story yang dia akan ke Gaza bersama Neelofa, suaminya dan Ebit tapi Ebit ambil dokumen, bawa jumpa Dato’ Sri Hishamuddin sebab Ebit Lew mahu pergi sendiri ke Gaza,” jelasnya.

Ujarnya, beliau tidak pernah berjumpa atau berbincang dengan penama-penama yang disebut Caprice tentang rancangannya untuk ke Gaza.

Caprice kemudiannya menuduh Ebit mencium kaki orang untuk mendapatkan akses masuk ke Gaza; Ebit juga menolak tuduhan tersebut dan menekankan perjalanannya adalah mengikut jalan yang betul seperti yang dijelaskannya semasa menjawab tentang isu Nadir.

Ebit menegaskan bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang membuat tuduhan tidak berasas kerana telah memberi kesan tidak hanya kepada beliau, tapi juga terhadap keluarganya.

Untuk video penuh, boleh terus akses di instagram Ebit Lew.

-- Wide TV

Catat Ulasan

0 Ulasan