UMK (kiri) menyerahkan surat pelantikan Penasihat MTNQDI kepada Mohd Jain.
amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN – AMALAN berwakaf tidak hanya terbatas kepada individu tertentu malah boleh dilakukan pelbagai pihak termasuk pengusaha restoran.
Melihat kepada penerimaan baik pengusaha-pengusaha restoran di daerah ini mendorong satu usaha bakal digerakkan bagi menggalakkan amalan berwakaf dilakukan.
Penasihat Maahad Tahfiz Nurul Quran Darul Ilmi (MTNQDI), Mohd Jain Aliuddin berkata, pengusaha restoran antara yang sentiasa melaksanakan aktiviti amal terutama menyumbang dalam pembangunan pusat-pusat tahfiz.
Menurutnya, antara kebiasaan yang dilakukan dan dapat dilihat dengan jelas menerusi penyediaan tabung wakaf atau infak di kaunter-kaunter restoran.
“Kita menggalakkan pengusaha restoran di Sandkaan untuk turut bersama menggerakkan inisiatif wakaf ini seperti yang sedang dilakukan MTNQDI.
“Ini sangat sesuai dan kebetulan saya sebagai Pengerusi Persatuan Pengusaha Restoran Melayu Sandakan (PPRMS).
“Jadi, sudah pasti rakan-rakan saya tidak akan teragak-agak untuk menyambut kerja-kerja ini dan sekurang-kurangnya menyumbangkan sedikit daripada pendapatan restoran mereka.
“Mudah-mudahan rezeki yang Allah berikan kepada pengusaha restoran ada berkahnya,” katanya kepada Wide TV.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani surat pelantikan Penasihat MTNQDI di hadapan Pengerusi MTNQDI, Ustaz Mulyadi Kasimin (UMK) di Restoran D’Labuk Corner, Batu 7, di sini.
Mohd Jain yang juga pemilik Restoran D'Labuk Corner berkata, inisiatif MTNQDI menggalakkan orang ramai berwakaf menerusi penyediaan pelekat QR kod juga dipandang positif.
Menurutnya, pelekat QR kod yang akan diletakkan di meja-meja serta kaunter restoran itu akan memudahkan pelanggan mengimbas QR kod yang disediakan seteruskan
QR kod itu akan membawa penyumbang terus ke laman web rasmi MTNQDI di mana segala maklumat berkaitan inisiatif wakfaf itu tersedia.
Selain itu, pelanggan yang telah mengimbas QR kod tersebut akan dapat memasuki ruang penyumbangan wang tunai menerusi aplikasi Toyyib Pay.
Klik untuk berwakaf - Toyyib Pay
Pelanggan hanya perlu meletakkan amaun wakaf seterusnya memasukkan butiran diperlukan sebelum memilih kaedah bayaran melalui akaun bank pemilik.
“Kita sudah berada di era digitalilasi di mana semua pembayaran boleh dilakukan di hujung jari.
“Malah, saya mencadangkan agar pihak MTNQDI dapat menyediakan satu lagi QR kod yang khusus kepada pengguna mata wang kripto.
“Ini bagi menggalakkan mereka berwakaf dengan hanya memindahkan nilai sumbangan daripada mata wang kripto ke e-wallet MTNQDI,” katanya.
Beliau difahamkan beberapa buah madrasah di Semenanjung Malaysia turut menggunakan kaedah sama bagi mengajak penyumbang daripada kalangan pemain mata wang kripto.
-- Wide TV