Ibu tunggal dapat 'banglo' baru

 


'Banglo' baru Izyani hampir siap sepenuhnya.

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - "HANYA Allah saja tahu perasaan saya sekarang dan kegembiraan yang tak dapat diungkapkan.

"Syukur ke hadrat Ilahi. Hanya mampu tersenyum dan menangis kegembiraan walaupun banglo kami tidak seindah banglo orang di luar."

Demikian luahan rasa syukur ibu tunggal, Izyani, 30, setelah melihat pondok yang dahulunya usang dan roboh kini hampir siap sepenuhnya.

Jika dulu, pondok usang itulah yang dia diami bersama kandungannya berusia enam bulan serta empat anaknya yang masih kecil masing-masing berusia 8, 7, 5 dan 2 tahun.

Nasib tidak menyebelahi mereka sekeluarga apabila pondok kecil itu roboh sehingga memaksa mereka menumpang di rumah jiran yang hampir senasib dengannya.

Tetapi selepas melalui hari-hari yang getir lebih dua bulan, akhirnya hadir beberapa insan dermawan sedia membantu mereka sehingga terbinanya 'banglo' baru yang lebih selesa.

WhatsApp Izani kepada Wide TV


"Terima kasih pada YB Frankie, YB Vivian dan juga abang J yang tak putus-putus untuk memberi (sumbangan) sehingga pondok syurga kami terbina semua.

"Perasaan yang tak dapat diungkapkan," katanya kepada Wide TV.

Nama yang beliau sebutkan adalah Datuk Frankie Poon Ming Fung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Vivian Wong Shir Yee, Ahli Parlimen Sandakan dan Jumadil Andi Sekandar, Pengerusi Pertubuhan Ummah Ikram Muslimin Sabah (Baitul Ummah).


Pondok dibina dengan bantuan penduduk kampung.

Kisah mengenai kehidupan keluarga Izyani sebelum ini tersebar di media sosial disebabkan rayuannya meminta bantuan RM1 bagi mengumpul dana membina semula pondoknya yang telah roboh di Kampung Perpaduan.

Wide TV membuat pendedahan mengenai perjalanan hidup keluarga tersebut yang berpindah randah sehingga beberapa kali menetap di kawasan setinggan di sekitar Sandakan.

Seakan merempat di negara sendiri, mereka pernah dihalau ketika menumpang di rumah rakan, terpaksa meninggalkan rumah sewa kerana tunggakan yang banyak dan pengalaman rumah musnah dijilat api dalam tragedi kebakaran 2019.

Biarpun begitu keadannya, Izyani tetap bersyukur kerana diterima oleh penduduk Kampung Perpaduan untuk terus tinggal di perkampungan tersebut sampai hari ini.

Bagaimanapun, kehidupan warga tempatan itu masih perlu dibela sehingga mereka dapat memiliki rumah yang lebih selesa.

Bukan untuk si ibu semata-mata, tetapi demi masa depan anak-anaknya.

-- Wide TV