“Jaga kawasan mu Datuk Zakaria” – Vivian Wong

 


Vivian (bertopi merah) menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk Tanah Hitam.

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN – KEMATIAN seorang lelaki berusia 30-an di kawasan penempatan penduduk di Tanah Hitam, Batu 9, di sini antara April dan Mei lalu yang didakwa akibat kelaparan menarik perhatian Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.

Vivian menyifatkan kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan mahu pemimpin di kawasan tersebut memandang serius perkara itu.

Menurut Vivian, berita mengenai kematian lelaki yang tinggal sebatang kara itu tular di media sosial sejak 3 Jun lalu dan nama beliau antara yang disebut di ruangan komen.

“Saya dapat news viral yang mana seorang lelaki umur 30-an saja telah meninggal dunia akibat kelaparan.

“Informasi yang kami terima juga sebab dia seorang diri (sebatang kara) tapi jiran dia sudah mendapat tahu yang dia telah meninggal dunia.

“Beberapa hari sebelum dia meninggal dunia dia ada juga minta beras daripada jiran. Jiran pun tolong seberapa boleh, tapi kita pun tengok dorang pun sangat susah,” katanya kepada Wide TV selepas mengadakan lawatan ke kawasan penempatan tersebut hari ini.


Dua imej ini merujuk kepada mesej yang tular.



Vivian berkata, beliau mahu maklumat mengenai kejadian itu sampai ke pengetahuan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris untuk diambil tindakan.

Menurut Vivian, kawasan tersebut berada di dalam Parlimen Libaran dan wakil rakyatnya adalah pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah kerajaan negeri Sabah ketika ini.

“Jadi, saya mahu send mesej ini kepada Ahli Parlimen Libaran di mana dia juga kerajaan mempunyai lebih banyak peruntukan untuk menolong orang-orang di kawasan dia seberapa banyak yang boleh,” katanya.

Terdahulu, Vivian bersama Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Marhaen Sandakan (K Marhaen), Mohamad Kadir Abdul Jalil turun ke kawasan itu bagi mengagihkan sumbangan 40 bakul makanan kepada penduduk setempat.

Vivian turut meluangkan masa menziarahi sebuah keluarga yang dikurniakan anak istimewa yang lahir tanpa tempurung kepala.

Dalam pada itu, Vivian turut membuat hantaran di facebook dan instagram rasminya mengenai perkara yang sama.

Menerusi entri itu, Vivian menggesa Ahli Parlimen Libaran agar menjaga kawasannya bagi memastikan  tiada lagi kes seumpama itu berlaku.

“Saya disini ingin menegaskan kepada Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris dari blok kerajaan untuk menjaga kawasan Datuk.

“Peruntukkan seorang Ahli Parlimen lebih dari RM3 juta setahun tambahan RM300 ribu untuk pengedaran bakul makanan, di mana Parlimen Sandakan hanya baru dapat RM300 ribu untuk membantu berpuluh ribu keluarga.

“Permohonan untuk bantuan bakul yang dibuka sejak semalam bagi Parlimen Sandakan sudah menerima lebih dari 3,200 pemohon,” katanya.

Wide TV cuba mendapatkan maklumbalas daripada Ahli Parlimen Sandakan berhubung isu tersebut namun gagal dihubungi.

-- Wide TV