SANDAKAN – ORANG Sandakan dinasihatkan agar tidak
panik dengan isu ketiadaan bekalan gula di daerah ini.
Ketua Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan, Mohamad Hashim
berkata, bekalan gula dijangka akan stabil bermula pertengahan Julai ini.
“Jaminan gula akan stabil pada 16 Julai bila
bekalan tiba di Sandakan.
“Diharap pengguna jangan panik,” katanya kepada
media semalam.
Mohamad berkata, langkah alternatif juga akan
diambil bagi mendapatkan penyelesaian isu terbabit.
Difahamkan, isu ketiadaan bekalan gula pasir di
negeri ini timbul dipercayai berpunca dari kelewatan penghantaran bekalan gula
daripada Semenanjung Malaysia yang menghadapi masalah pelepasan di pelabuhan.
Masalah kekurangan bekalan barangan kawalan
itu dikesan berlaku sejak April lagi dan berlarutan sehingga hari ini.
Mohamad turut menasihatkan peruncit dan pasar
raya yang terjejas akibat kekurangan gula agar menghubungi KPDNHEP untuk
bantuan.
“Harapan kami, peruncit atau pasaraya yang
ada masalah bekalan gula sila hubungi KPDNHEP Sandakan,” katanya.
Semalam, Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas
berkata bermula minggu ketiga dan keempat bulan ini, sebanyak 2.340 metrik tan
gula akan dihantar ke negeri ini melalui tiga pelabuhan di Sabah.
Sebanyak 590 metrik tan gula dijangka tiba
secara berperingkat di Pelabuhan Sepanggar manakala 650 metrik tan gula akan
tiba di Pelabuhan Sandakan dan 1,100 metrik tan gula tiba di Pelabuhan Tawau.
“Bekalan gula pasir ini akan diterima daripada dua buah kilang
gula yang merupakan pembekal utama gula di seluruh Malaysia iaitu Central
Sugars Refinery Sdn. Bhd. dan MSM Prai Sdn. Bhd,” katanya.
Menurut Georgie, bekalan gula pasir di Sabah
akan mulai pulih sepenuhnya menjelang Ogos 2021.
-- Awani Borneo | Sabah Media | Suara Bebas Tuaran