Kluster hospital Sandakan?

 


AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - TULAR paparan berita berkenaan pengesanan satu kluster baru Covid-19 melibatkan petugas kesihatan dan pesakit di sebuah hospital kerajaan.

Berdasarkan laporan Harian Ekspres kluster tersebut dikesan berlaku di Hospital Duchess of Kent (HDOK) sejak semalam.

Laporan tersebut diperoleh daripada jurucakap krisis pandemik Sabah, Datuk Sri Masidi Manjun.

Menurut laporan itu, Kluster Jalan Utara Dua - Sandakan tercetus di wad lelaki HDOK dan dikategorikan sebagai kluster pusat rawatan.

"Kes indeks adalah lelaki, 74, yang menjalani ujian saringan Genexpert PCR selepas pemeriksaan oleh Pakar Perubatan ke atas X-ray dada, dikesan positif COVID-19," kata sumber berkenaan.

Laporan itu turut menyebut saringan seterusnya yang dibuat mendapati 11 kes positif masing-masing dua kes kakitangan dan sembilan kes pesakit-pesakit melalui saringan Genexpert PCR, manakala satu kes penjaga tahanan dan satu lagi kes kontak serumah melalui ujian RTK-Ag.

"Turut menjalani ujian saringan Genexpert PCR ialah 28 pesakit di wad tersebut dan didapati negatif, sementara 18 health care workers yang menjalani ujian saringan PCR masih menunggu keputusan," katanya.

Tambah sumber itu, setakat 23 Julai 2021, kumulatif kes adalah 13 orang termasuk 11 kes baharu dicatat semalam.

Dalam perkembangan lain, tiga lagi kluster baharu dikesan di Sabah iaitu Kluster Kampung Mananam di Tongod, Kluster Jalan Stesen Jalan TV melibatkan sebuah ladang ternakan ayam di Tawau dan Kluster Bukit Mas melibatkan tempat kerja di Kinabatangan.

-- Harian Ekspres

Catat Ulasan

0 Ulasan