ROBOH - Pondok yang pernah didiami Izyan bersama empat anaknya.
AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - IBARAT kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Perumpamaan itu paling sesuai dikaitkan dengan nasib yang dialami sebuah keluarga warga tempatan di daerah ini yang terpaksa merempat di bumi sendiri akibat tersisih daripada perhatian pemimpin serta pihak berwajib.
Nasib ibu tunggal yang hanya mahu dikenali sebagai Izyani, 30, bersama empat anaknya yang masih kecil berusia 8, 7, 5 dan 2 tahun terbiar dan tidak mendapat perhatian sewajarnya.
Pondok usang yang dibina dari kayu bakau dan didiami lima beranak selama ini roboh lebih sebulan lalu sehingga memaksa mereka menumpang di rumah jiran yang juga senasib dengan mereka.
Bukan tidak pernah memohon bantuan, malahan dia sudah puas merayu umpama pengemis namun tiada siapa yang pandang.
Tapi, Izyani yang sedang mengandung anak kelima tidak pernah putus asa kerana baginya anak-anak adalah rezeki yang tidak terhitung nilainya dan menjadi penguat semangat untuk meneruskan ikhtiar.
Izyani percaya doa dan usahanya pasti akan termakbul serta mendapat hasil diharapkan.
RAYU BANTU RM1
Kisah mengenai Izyani mencuri perhatian Wide TV selepas rayuannya meminta bantuan RM1 kepada warga Sandakan untuk membina semula pondok mereka yang roboh tular di media sosial.
Dalam mesej yang dikarang sendiri oleh Izyani, dia telah cuba pelbagai cara untuk mendapatkan bantuan namun gagal.
"Saya memohon bantuan walaupun Rm1 seorang Hanya utk saya dan anak2 sya dirikan PONDOK buruk kami kerana kediaman kami SEBELUM ni sudah roboh.
"Saya da cuba mencari eltenatif lain memohon bantuan mana2 yang sepatutnya.. namun tiada apa2 TINDAKAN. bantulaa saya walaupun Rm1," katanya seperti dalam hantaran mesej yang dihantar kepada Wide TV.
MOHON BANTUAN WAKIL RAKYAT
Tidak putus asa, Izyani mengambil inisiatif membuat permohonan bantuan daripada wakil rakyat bagi mendapatkan dana membina pondok baru.
"Saya buat permohonan terus melalui (aplikasi) messenger pemimpin dan wakil rakyat tempatan.
"Ada juga yang saya pergi terus ke pejabatnya sebab saya pengundi dalam Parlimen Sandakan.
"Saya sampai ke pejabat YB Vivian dan YB George," katanya.
Menurutnya, antara pemimpin utama yang sempat dihubungi melalui messenger termasuklah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
"Biarlah saya susah, merempat macam mana sekalipun asalkan anak-anak (hidup dan membersar) di depan mata saya (atas titik peluh sendiri)," katanya.
MOHON PPR DITOLAK
Sebagai warganegara Malaysia, Izyani turut membuat permohonan bagi mendapatkan rumah lebih selesa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih.
Bagaimanapun, usahanya mendapatkan sokongan serta kelulusan daripada pihak berwajib masih gagal sehingga ke hari ini.
"Isi borang permohonan, surat sumpah, pengesahan pendapatan semua saya uruskan sendiri.
"Panjat setiap tangga pejabat termasuk wakil rakyat bagi mendapatkan sokongan dan bantuan.
"Tapi malangnya sampai hari ini tiada maklumbalas saya terima," ujarnya.
DIHALAU, SEWA TERTUNGGAK
Kehidupan keluarga tersebut sangat berliku dan berpindah randah sejak beberapa tahun lalu.
Kampung Gas, Taman Mesra dan Kampung Air antara kawasan penempatan yang pernah didiami sebelum ini.
Keluarganya pernah dihalau oleh rakan sendiri ketika menetap di Kampung Gas.
Mereka juga terpaksa keluar dari rumah sewa di Taman Mesra kerana sewa tertunggak.
RUMAH TERBAKAR
Paling tragis, rumah mereka menjadi antara puluhan kediaman yang musnah dalam tragedi kebakaran di Kampung Air pada tahun 2019.
Lebih menyedihkan apabila ketika kebakaran berlaku hanya anak-anak berada di rumah.
Ketika kejadian itu Izyani sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Duchess of Kent (HDOK) kerana menjalani pembedahan.
Malah, dia baru sahaja selesai berpantang selepas melahirkan anak keempatnya.
Keadaan itu dilalui dengan penuh kecekalan dan kesabaran demi meneruskan hidup bersama anak-anaknya.
JUAL NASI LEMAK
Bagi meneruskan hidup, Izyani tetap berusaha berniaga secara kecil-kecilan daripada hasil bantuan bakul makanan yang diterimanya.
"Walaupun menumpang di rumah jiran, saya tetap berjual nasi lemak daripada sumbangan beras dan telur yang kami dapat.
"Saya masak di rumah dan pinjam motor jiran untuk buat COD (cash on delivery).
"Hasil COD saya bayar balik dengan pemilik motor," katanya ketika dihubungi Wide TV.
Menurutnya, biarpun bantuan tidak seberapa dia tetap manfaatkan demi menyara kehidupan anak-anaknya.
TERIMA BANTUAN JKM
Selain tersenarai sebagai penerima bantuan bakul makanan, Izyani merupakan menerima Bantuan Am daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM290 setiap bulan.
Bagaimanapun, dia mengakui jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung keperluannya lima beranak tambahan lagi terpaksa menumpang di rumah jiran.
"Bantuan Am ni baru saja bulan November tahun lalu kami dapat selepas ditolak beberapa kali.
"Saya usahakan dari dulu lagi untuk dapatkan bantuan seperti ini sebab sebagai warganegara saya memang layak walaupun tidak disenarai dalam data e-Kasih," katanya.
Malah, Izyani bersyukur anak sulungnya layak menerima bantuan telefon pintar di bawah Jaringan Prihatin Rakyat.
Bantuan Prihatin Nasional (BPN) RM300 turut diterima pada April lalu dan terbaru hujung Jun 2021.
-- Wide TV