SANDAKAN - TELITI terlebih dahulu sebelum keluarkan peraturan untuk kawasan yang diperketatkan.
Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N53 Sekong, Alias Sani berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) yang hendak dikeluarkan oleh pihak berkuasa di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Alias menegaskan sebarang SOP tidak sepatutnya bertukar-tukar dan dikeluarkan sebanyak dua kali dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
Beliau turut menggesa agar SOP di kawasan PKPD dikeluarkan lebih awal daripada tarikh penguatkuasaan perintah tersebut.
"SOP kawasan PKPD harus dikeluarkan lebih awal dari tarikh mula PKPD.
"Sekiranya ada SOP tambahan harus dicermati dan kemudian dihebahkan awal tanpa bertukar-tukar SOP.
"Ini sampai dua kali bertukar SOP untuk keluar kawasan PKPD Taman Mawar dan flat LPPB," katanya menerusi hantaran facebook sebentar tadi.
Kenyataan beliau merujuk kepada notis pemakluman yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bertarikh 30 Julai 2021 berkenaan syarat-syarat keluar bekerja bagi frontliner dan essential service di kawasan PKPD.
Alias berkata, tindakan pihak MPS itu bukan saja mencerminkan tindakan tidak cermat malah disifatkan sebagai menyusahkan rakyat.
"(Tindakan ini) telah mencerminkan MPS tidak mencermati secara teliti dan telah menyusahkan penduduk lantaran mentahnya SOP yang dihebahkan sehingga tukar kepada yang baharu lagi," katanya.
-- Wide TV