NGO nafi kematian akibat kebuluran

 


Screenshot status whatsapp Adam Husin

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN – DAKWAAN berhubung kematian seorang lelaki berusia awal 30-an di kawasan penempatan penduduk Tanah Hitam, Batu 9, akibat kebuluran dinafikan sekeras-kerasnya oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini.

Menurut NGO berkenaan, dakwaan itu bukan saja tidak benar malah satu penipuan yang sengaja digembar-gemburkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan yang tidak baik.

Berdasarkan perkongsian imej screenshot yang dihantar seorang pengikut Wide TV, PearlFinger Ptt yang mengulas berkaitan artikel bertajuk “Jaga kawasan mu Datuk Zakaria” – Vivian Wong, jelas tertera kenyataan dua NGO yang berpusat di Sandakan berhubung dakwaan tersebut.

Satu daripada paparan imej tersebut adalah screenshot yang dihantar menerusi status whatsapp tertera nama Adam Hussin yang merupakan penggerak sebuah NGO yang aktif menyampaikan sumbangan di kawasan Tanah Hitam.

Dalam status itu, Adam menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab melontar tuduhan tidak berasas dan melangkawi bidang kuasa kedoktoran.

“Ini satu fitnah, tidak mungkin saya membiarkan ada yang mati kebuluran di kawasan yang saya jaga.

“Hanya Doktor/Ahli Perubatan yang berautoriti sahaja boleh mengesahkan punca kematian si  mati tersebut! Bukan orang awam!” Katanya.


Dua screenshot merujuk kepada kenyataan iN


Sementara itu, dalam tangkap layar seterusnya tertera beberapa kenyataan daripada Pertubuhan Kebajikan Imam An-Nawawi Sabah (iN) berhubung dakwaan yang sama.

Wide TV cuba untuk mendapatkan maklumat lengkap kenyataan itu di laman facebook iN namun tidak berhasil.

IN menyifatkan dakwaan yang tular di media sosial itu sebagai satu penipuan dan rekaan semata-mata.

“ADA ORANG MATI KEBULURAN???

“Subhanallah, betapa terkejutnya kami mendengar berita seperti ini, tambahan pula ini berlaku di Daerah Sandakan Sabah, tempat berpusatnya iN dan rakan-rakan NGO lain yang aktif menghulurkan bantuan.

“Ketahuilah saudara-saudari, ini hanyalah cerita rekaan semata-mata. Tidak benar sama sekali. Sangat tidak bertanggungjawab pihak berkenaan membuat cerita penipuan seperti ini, seolah-olah tempat mereka tidak mendapat bantuan langsung,” kata dalam kenyataan tersebut.

NGO tersebut menjelaskan, Tanah Hitam, Batu 9 sebagai kawasan yang telah disenaraikan sebagai penerima bantuan tetap secara bulanan.

Jelas NGO itu lagi, pasukan Ustaz Adam Hussin antara yang aktif menghulurkan bantuan makanan sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

Mereka berharap, pihak luar termasuk dari Semenanjung Malaysia agar tidak mudah terpedaya hanya dengan kenyataan sebelah pihak mahupun rekaan cerita mereka yang meminta-minta.

Sebaliknya, semakan serta siasatan terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan.


Screenshot Khairul Jamain

Baru-baru ini, tular di media sosial berita mengenai kematian seorang lelaki berumur 30-an yang tinggal sebatang kara di kawasan penempatan penduduk Tanah Hitam, Batu 9 yang didakwa akibat kebuluran.

Isu tersebut dikaitkan dengan ciapan seorang backpackers, Khairul Jamain di twitter miliknya pada 3 Julai lalu.

Bagaimanapun, Khairul yang yang dikatakan kenalan kepada aktivis masyarakat, Mukmin Nantang tidak menyebut secara jelas mengenai ‘rakyat’ yang dimaksudkan sebagai mati kebuluran.

“Menangis aku mendapat berita apabila ada rakyat yang mati kebuluran.

“Sedih dan amat marah apabila mengetahui terdapat rakyat yang mati kebuluran. Ini bukan di Afrika tapi di Malaysia.

Stateless juga manusia seperti kita. Tolonglah aku takt ahu apa nak cakap!” katanya dalam ciapan yang dibuat pada jam 10.35 malam hari tersebut.

-- Wide TV