admin@semarakniaga.com
SANDAKAN - AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) N53 Sekong, Alias Sani membuat laporan polis berikutan pembatalan Ordinan Darurat yang tidak sahih di Balai Polis Bandar Sandakan semalam.
Laporan polis tersebut melibatkan Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.
Jelasnya, kenyataan Takiyuddin yang tidak tepat telah menimbulkan kekeliruan dan menentang perintah Ordinan Darurat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Saya membuat laporan polis ini bagi memohon pihak Polis DiRaja Malaysia menyiasat Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang membuat kenyataan tersebut dan menyiasat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan dan kabinet kerajaan Perikatan Rakyat, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kerana mengambil tindakan yang membelakangkan titah Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong dan melanggar Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.
Tegasnya, kenyataan Takyuddin yang bersifat derhaka terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan melanggar Perlembagaan Persekutuan boleh disiasat dibawah Kanun Keseksaan.
"Kesalahan yang memudaratkan demokrasi berparlimen boleh disiasat dibawah peruntukan-peruntukan Kanun Keseksaan serta kesalahan-kesalahan lain yang terkait dibawah mana-mana peruntukan undang-undang negara," tambahnya.
Turut bersama Alias di balai polis ialah Peguam Haris Alimudin dan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu Sapi.
-- Facebook Alias Sani | Wide TV