Polis Marin Sandakan gagalkan cubaan seludup barang kawalan


Tangkapan dan rampasan Pasukan Polis Marin W4 Sandakan

NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – CUBAAN menyeludup barangan kawalan oleh sekumpulan 4 lelaki digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan.

Seorang juragan dan 3 awak-awak dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan berikutan aktiviti mencurigakan menuju ke laut lepas.

Pegawai Pemerintah PPM Sandakan, DSP Rusdin Banin berkata, kesemua mereka ditahan bersama barang rampasan antaranya minyak masak dan mee kering.

“Hasil pemeriksaan ke atas jongkong mendapati terdapat barang kawalan dalam milikan juragan seperti beberapa kotak minyak masak dan mee kering.

"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM46,348.40 termasuk nilai enjin dan jongkong yang dirampas,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik ke dalam facebook PPM W4 Sabah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dan saringan air kencing ke atas suspek mendapati seorang daripadanya positif dadah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas juragan didapati memiliki dadah yang disyaki jenis syabu dan saringan air kencing adalah positif,” katanya.

Ujarnya, keempat–empat suspek dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk siasatan lanjut.

Tambah beliau, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- Pasukan Polis Marin W4 Sabah