'Pondok Izyani mula dibina esok'

 


Jumadil memilih kayu dan papan tambahan untuk membina pondok Izyani.

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - NASIB ibu tunggal, Izyani, 30, bersama empat anaknya di Kampung Perpaduan di sini terus dibela sehingga dapat mendiami rumah yang lebih selesa.

Biarpun belum dapat keluar dari kawasan penempatan setinggan, namun usaha sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu sehingga terbinanya pondok baru di tapak asal pondok mereka yang roboh sebelum ini, tetap memberi kelegaan kepada keluarga tersebut.

Hari ini, Pertubuhan Ummah Ikram Muslimin Sabah (Baitul Ummah) sekali lagi berkunjung ke perkampungan tersebut yang terletak bersebelahan Bandar Letat Jaya.

Pengerusinya, Jumadil Andi Sekandar berkata, kedatangan mereka pagi tadi bagi memastikan seluruh keperluan serta kelengkapan pembinaan pondok baru tersebut tersedia sepenuhnya.

"Hari ini kami datang untuk membeli semua barang-barang yang diperlukan seperti kayu dan zink termasuk paku untuk membina pondok tersebut.

"InsyaAllah kerja-kerja pembinaan akan dimulakan esok secara bergotong-royong bersama penduduk kampung," katanya kepada Wide TV.

Beliau berkata, Baitul Ummah turut membekalkan tangki air di pondok tersebut bagi memastikan bekalan air bersih tidak terputus.

Bukan itu saja, dapur masak dan tong gas turut disumbangkan kepada keluarga itu.


Jumadil melihat zink yang mahu dibeli.

Semalam, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung telah turun membantu menyumbangkan papan lapis yang diperlukan untuk membina pondok yang akan didiami Izyani sekeluarga.

Selain itu, mereka turut memberikan sumbangan susu formula kepada anak-anak Izyani termasuk bekalan makanan asas.

Kisah hidup Izyani mendapat perhatian pelbagai pihak selepas pendedahan di dalam wtvmedianews.com susulan rayuannya memohon sumbangan RM1 bagi mengumpul dana membina semula pondoknya yang telah roboh sejak dua bulan lalu.

KIRA - Jumadil (tengah) melihat pengurus kedai menyiapkan bil sambil diperhatikan Izyani.

Dalam pada itu, Jumadil berkata, usaha membantu ibu tunggal berkenaan tidak hanya terhenti setakat itu, malah beliau mengharapkan agar mereka dapat dipindahkan ke penempatan lebih selesa seperti di Program Perumahan Rakyat (PPR).

Menurutnya, sebagai warganegara Malaysia dan berstatus ibu tunggal serta mempunyai tanggungan anak yang masih kecil, Izyani layak untuk mendapat sebuah unit PPR.

"Saya akan bawa semula pernohonannya sebelum ini untuk memohon PPR kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Sebab Izyani pernah membuat permohonan PPR dua tahun lalu tapi status permohonannya tergantung dan tidak mendapat maklumbalas sewajarnya daripada agensi berkaitan.

"Jadi, Baitul Ummah akan usahakan perkara ini sampai kepada pihak atasan dan kita mahu kerajaan negeri sama-sama membantu," katanya.

Tambahnya lagi, pihak kerajaan negeri harus mengambil peduli dan memberi perhatian serius terhadap permohonan ibu tunggal terbabit.


Izyani menunjukkan senarai barangan yang diperlukan.

Sementata itu, Izyani ketika ditemui melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi di atas rezeki yang tidak putus-putus diterima sehingga hari ini.

"Inilah mungkin masanya Allah mahu bagi rezeki kepada saya dan anak-anak selepas berusaha sekian lama.

"Bukan saja bantuan berterusan seperti ini tetapi ada juga hamba Allah yang membantu dari segi kewangan," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada insan yang tidak dikenali yang telah membantunya.

-- Wide TV