SANDAKAN – SEBANYAK 480 bakul makanan diagihkan kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni menerusi Program Bakul Makanan Parlimen P.184 Libaran.
Bakul makanan itu diserahkan sendiri oleh Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris dalam satu majlis penyerahan baru-baru ini.
Zakaria berkata, pemberian bantuan tersebut dibuat selepas mengambil kira keperluan penduduk di tujuh blok kediaman PPR tersebut yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, selain PPR Taman Murni, tiga PPR lain dalam kawasan Libaran yang telah menerima bantuan bakul makanan termasuklah PPR Sungai Manila, PPR Muhibah dan PPR Gum Gum.
"Kerajaan persekutuan telah memperuntukkan dana khas berjumlah RM300,000 untuk bantuan bakul makanan kepada penduduk di dalam parlimen Libaran.
"Sebanyak 480 bakul makanan kita sediakan untuk semua penghuni di tujuh blok PPR Taman Murni.
"Sebelum ini, saya telah berikan bantuan sama di PPR Sg. Manila dan PPR Muhibbah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.51 Sg. Manila dan juga memberi bantuan makanan prihatin ini di PPR Gum Gum dalam DUN N.50 Gum Gum," katanya kepada media pada program tersebut.
Turut hadir dalam program itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Taman Murni, Norhamzah Zakaria @ Amirhamzah.
Zakaria yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Libaran berkata, pemberian bantuan bakul makanan tersebut tidak hanya tertumpu di kawasan PPR, malah beliau turut menyerahkan bantuan kepada penduduk yang terjejas di kawasan-kawasan lain dalam parlimennya.
Dalam pada itu, Zakaria memaklumkan jumlah sebenar unit kediaman di PPR Taman Murni adalah 500 unit, namun hanya 480 unit sahaja direkodkan sebagai berpenghuni.
Katanya, baki 20 unit lagi sama ada terbiar kosong atau berkemungkinan disewakan kepada orang lain.
“Orang yang telah diluluskan untuk 20 unit ini tidak dapat dijumpai dan
disewakan kepada orang lain.
“Bila disewakan kepada orang lain dengan harga yang mahal, apatah lagi
dengan Covid-19, maka orang lain pun tertekan (kerana) tidak boleh bayar
(sewa),” ujarnya.
Beliau menyarankan kerajaan untuk memilih penghuni yang benar–benar
memerlukan tempat tinggal bagi mengisi baki unit di PPR Taman Murni agar
kawasan tersebut dapat digunakan dengan baik.
-- Wide TV