Rombak pasukan Tembadau hadapi Tok Gajah


Sabah FC tumpas di tangan PJ City dalam aksi sebelum ini

MUHAMMAD EDDIN MOHAMAD YASIN
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN - PENGENDALI Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto melakukan rombakan terhadap pasukannya untuk menghadapi kunjungan Sri Pahang bagi aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Rombakan berkenaan perlu dibuat oleh Kurniawan apabila tonggak pertahanan The Rhinos, Rawilson Batuil tidak dapat diturunkan selepas dilayangkan kad kuning ketika aksi menentang PJ City FC Sabtu lalu.

Menurut pengadali Sabah FC itu, kekosongan posisi Rawilson ini semestinya boleh diisi oleh beberapa pemain lain yang sudah tentu memiliki prestasi serta komitmen 100 peratus.

Selain itu, posisi penjaga gol utama juga dalam penilaian beliau apabila situasi penjaga gol utama mereka, Rozaimie baharu sahaja kehilangan ayahnya. 

"Posisi penjaga gol utama juga dalam penilaian saya memandangkan ayah Rozaimie baru meninggal dunia di Kuala Lumpur awal pagi tadi. Kita akan berbincang dengan jurulatih penjaga gol, siapa yang akan diturunkan pada aksi malam esok,” kata Kurniawan.

Pada masa sama, Kurniawan meminta semua anak buahnya untuk fokus dalam misi meraih tiga mata penuh di laman sendiri malam ini, sekali gus membolehkan merekan memperbaiki kedudukan dalam liga.

"Perlawanan menentang Sri Pahang FC sangat penting kerana kita sudah kehilangan tiga mata berharga ketika bertemu PJ City FC minggu lalu.

“Saya berharap semua pemain mampu kembali bangkit serta fokus dengan misi meraih kemenangan penting malam esok”, katanya.

-- Sinar Harian | Wide TV