Sis Elya sedia layan kamu

 


MUHAMMAD EDDIN MOHAMAD YASIN
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN - PERMOHONAN i-Citra boleh dibuat mulai hari ini.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuka permohonan pengeluaran pakej baru i-Citra tiga hari lebih awal daripada tarikh asal yang diumumkan sebelum ini.

Permohonan pengeluaran boleh dibuat bermula hari ini, 12 Julai 2021 menerusi laman sesawang www.kwsp.gov.my

"Bagi memudahkan permohonan dalam talian i-Citra, ahli dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit mereka adalah sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP), di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran terbabit.

"i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam Akaun 1 dan 2," kata Jabatan Hal Eahwal Korporat KWSP dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank pencarum mulai bulan depan.

Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar sehingga lima kali bayaran iaitu sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan.

Untuk maklumat lanjut mengenai i-Citra serta cara membuat permohonan, pencarum boleh merujuk laman komunikasi rasmi KWSP di laman sesawang www.kwsp.gov.my atau menghubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848.

-- Berita Harian | KWSP