AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - SEKOLAH yang dibina di penempatan penduduk Tanah Hitam, Batu 9, di sini merupakan inisiatif wakaf daripada ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertapak di Sandakan.
Tujuannya bagi memberi pendidikan kepada penduduk yang kebanyakannya berpendapatan rendah dan tidak dapat bersekolah akibat kesempitan hidup.
Bagaimanapun, ketiadaan guru ditambah kekurangan buku menyebabkan aktiviti pembelajaran tidak dapat dilakukan.
Menyedari keperluan itu mendorong Skuad Antidadah daerah Sandakan menggerakkan usaha mengumpul buku terpakai untuk disumbangkan kepada sekolah tersebut.
Pengerusinya, Alden Martinez berkata, sukarelawan antidadah akan digerakkan untuk bersama-sama melaksanakan usaha pengumpulan buku-buku terpakai dari seluruh daerah ini.
"Kita hanya mahukan pendidikan asas dapat diberikan kepada kanak-kanak serta penduduk di kawasan itu.
"Sekurang-kurangnya mereka mengenal huruf, dapat menulis dan membaca.
"Buku-buku itulah nanti yang akan dapat membantu mereka belajar," katanya selepas melawat penempatan tersebut baru-baru ini.
Alden berkata, sebelum ini terdapat beberapa guru dari luar yang mengajar di sekolah tersebut secara sukarela termasuk seorang penduduk tempatan.
Namun, disebabkan pandemik Covid-19 sesi persekolahan tidak dapat diteruskan dan tertangguh sejak lebih dua tahun.
"Kita perlukan sokongan serta usaha bersama-sama untuk mengumpul buku-buku terpakai untuk disumbangkan kepada sekolah tersebut.
"Saya percaya usaha ini akan dapat dilaksanakan menerusi penglibatan Skuad Antidadah," katanya.
Beliau berkata, pertemuan seluruh ahli jawatankuasa Skuad Antidadah Sandakan yang akan diadakan secara maya esok turut membincangkan mengenai hasrat murni itu.
Tambah beliau, menerusi aktiviti amal itu mesej dan kesedaran mengenai bahaya gejala penyalahgunaan dadah juga akan dapat disebarkan kepada semua penduduk penempatan tersebut.
-- Wide TV