Terminal bas RM34 juta jadi tempat letak kereta


Calvin Chong meninjau keadaan TBBS semalam.

NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – MAJLIS Perbandaran Sandakan (MPS) digesa menyegerakan segala kerja yang tergendala di bangunan Terminal Bas Bersepadu Sandakan (TBBS).

Gesaan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N55 Elopura, Calvin Chong selepas melihat keadaan bangunan tersebut yang masih belum dapat digunakan sehingga kini.

Menurutnya, bangunan yang siap dibina pada 2017 dengan kos RM34 juta itu hanya menjadi tempat letak kereta bagi pengunjung yang datang ke Pasar Muhibbah yang terletak bersebelahan bangunan terminal bas tersebut.

“Saya menyeru kepada pihak MPS untuk menyelesaikan segala kerja yang tergendala di bangunan terminal tersebut dengan kadar segera agar ianya dapat digunakan oleh rakyat.

“Bangunan yang telah menelan kos kira-kira RM34 juta hasil daripada peruntukan dana dari kerajaan pusat dan negeri siap dibina pada tahun 2017.

“Namun sehingga hari ini ianya masih belum dibuka untuk orang awam sebaliknya digunakan tempat meletak kenderaan bagi orang ramai yang berkunjung ke Pasar Muhibbah terletak di sebelah bangunan terminal bas tersebut,” katanya dipetik daripada hantaran facebook rasmi beliau semalam.

Calvin berkata, beliau pernah dimaklumkan oleh MPS masih terdapat baki peruntukan projek pembinaan TBBS itu yang berjumlah RM2 juta.

Katanya, peruntukan itu sewajarnya dimanfaatkan untuk menyelesaikan segala isu teknikal, kerosakan serta mendapan tanah yang berlaku di kawasan tersebut.

Beliau turut mencadangkan agar bangunan TBBS digunakan untuk aktiviti ekonomi termasuk disewakan kepada usahawan di Sandakan dan tidak rugi jika dijadikan Pasar Muhibbah.

“Jika ada usahawan mahu sewa, MPS bagi agar dapat majukan kawasan itu dan MPS pun ada hasil atau jadikan pasar Muhibbah,” ujarnya.

Jun lalu, ketika lawatan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Bung Moktar Radin ke TBBS pernah menyatakan hasrat untuk mengurus perkembangan TBBS agar dapat digunakan secepat mungkin.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya (JKR) berkata, JKR perlu diberi pengiktirafan sebagai agensi yang berkelayakan untuk menjaga segala bentuk projek, sama ada di bawah persekutuan mahupun kerajaan negeri.

“Kita cukup jentera, kita cukup tenaga,” katanya.

Beliau turut mengakui wujud kekangan untuk menyelesaikan masalah terminal bas berkenaan kerana terdapat mendapan tanah sedalam 160 meter.

“Saya beri tempoh hingga pertengahan bulan depan (Julai) beri laporan (daripada MPS) kerana projek ini bernilai jutaan ringgit dan merupakan satu pembaziran kepada pembangunan Sandakan jika tidak boleh digunakan,” tambahnya.

Untuk rekod, mantan ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman telah melawat TBBS pada Januari 2018 dan membuat pengumuman bahawa terminal itu akan mula beroperasi tidak lama setelah pemasangan Sistem Operasi Terminal (TOS) selesai.

Walau bagaimanapun, sehingga kini terminal bas tersebut masih belum dapat digunakan.

-- Facebook Calvin Chong | Borneo Today | Sabah Gazette