AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - KURANG 24 jam pendedahan Wide TV mengenai kehidupan lima beranak meraih sumbangan RM1 bagi tujuan membina pondok baru, dua wakil rakyat kawasan terbabit turun padang menghulurkan bantuan.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung hari ini melawat sendiri keluarga Izyani, 30, bagi melihat lebih dekat keadaan mereka.
Bagaimanapun tiada kenyataan rasmi diterima berhubung lawatan itu daripada wakil rakyat terbabit.
Namun begitu, Vivian dalam hantaran mesej menerusi whatsapp kepada Wide TV berkata, Frankie telah turun ke penempatan keluarga Izyani petang tadi bagi menghantar sumbangan papan lapis.
"Adun tanjung papat yang turun padang. Yb datuk frankie poon," katanya seperti dalam whatsapp tersebut.
Terdahulu, Vivian memaklumkan bahawa pasukannya dari Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sandakan giat menjalankan aktiviti kemasyarakatan namun beliau tidak menjangka masih ada rakyat yang tercicir.
Beliau yang faham dengan situasi itu tidak mahu berdalih lagi dan terus berusaha membantu keluarga terbabit.
"Sebab pasukan kita memang giat buat kerja komuniti jadi rasa hairan kenapa ada yang terlepas," katanya.
Vivian turut mengajak Wide TV untuk bersama dalam melaksanakan program penghantaran bekalan bakul makanan di kawasannya.
Wide TV juga dimaklumkan oleh seorang pegawai dari pejabat ADUN Karamunting mengenai bantuan yang pernah dihulurkan oleh wakil rakyat kawasan itu kepada keluarga Izyani ketika tragedi kebakaran di Kampung Air pada 2019.
Menurut pegawai terbabit, sebagai ADUN Karamunting, George Hiew Vun Zin tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membela nasib rakyat di kawasannya.
Dalam pada itu, Izyani yang menghubungi Wide TV sebentar tadi memberitahu Vivian dan Frankie besama pasukannya telah turun ke perkampungan mereka sambil membawa beberapa keping papan lapis untuk tujuan pembinaan pondok barunya.
Izyani yang jelas terkejut dengan kehadiran mereka tetap bersyukur kerana bantuan yang datang dianggap terlalu pantas.
"Mereka berdua datang dengan beberapa pembantu dan menyumbangkan lebih kurang 20 keping plywood.
"Saya rasa bersyukur sangat sebab memang tidak jangka bantuan saya dapat secepat ini selepas cerita pasal keluarga kami lima beranak keluar di Wide TV," katanya.
-- Wide TV