Disangka hilang, rupanya...

 

Puteri sudah pulang.

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - LEBIH 24 jam menghilang akhirnya adik Puteri, 13, pulang ke pangkuan keluarganya sebentar tadi.

Kakaknya dikenali sebagai Chacha, 27, memberitahu Wide TV, Puteri berada di rumah salah seorang penduduk Kampung Sim-Sim di Jambatan 17 dan telah bermalam di situ sejak semalam.

Menurut Chacha, seorang lelaki yang hanya dipanggil sebagai pak cik telah menghubunginya ketika berada di Balai Polis Bandar Sandakan untuk memaklumkan mengenai keadaan adiknya yang disangka hilang.

"Masa saya mahu buat laporan polis di balai, bapa kepada kawan adik saya call... dia bilang adik mu sebenarnya tidak hilang.

"Adik mu ada di rumahku di Jambatan 17. Dia bilang dia mahu bermalam di sini saja.

"Tapi dia tidak tahu adik ku dicari sebab tidak pulang sejak kelmarin," katanya kepada Wide TV.

Setelah menerima berita itu, Chacha terus bergegas ke rumah pak cik tersebut bersama keluarganya dan membawa Puteri pulang.

Screenshot Chacha kepada Wide TV

Berita mengenai kehilangan Puteri dilaporkan petang semalam menerusi imej berserta teks mesej dihantar oleh ibunya, Aisyah, 47, dan tersebar di media sosial.

Wide TV segera menghubungi Aisyah bagi mendapatkan kesahihan mengenai perkara itu.

Menurut Aisyah yang kini dikuarantin di Hospital Beluran kerana Covid-19, anak bongsunya itu telah keluar membeli 'kredit' di sebuah kedai di Jambatan 14 jam 8 pagi semalam, namun tidak pulang ke rumah.

Aisyah memaklumkan, usaha mencari telah dibuat tapi tidak berhasil sehingga mereka meminta jasa baik orang ramai untuk sama-sama mencari anaknya.

Chacha turut memberitahu terdapat maklumat daripada penduduk kampung yang melihat Puteri di beberapa tempat bersama rakannya dan berada dalam keadaan selamat.

Namun, sehingga tengah hari tadi masih belum ada khabar mengenai keadaan dan kedudukan sebenar Puteri.

Bagaimanapun, berkat usaha dan doa serta keprihatinan masyarakat Sandakan akhirnya berita kehilangan Puteri sampai kepada pengetahuan pak cik terbabit yang lantas menghubungi Chacha.

-- Wide TV

Catat Ulasan

0 Ulasan