Najib ingin Muhyiddin undur diri

Najib Razak menerusi Facebook


NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – PERDANA Menteri, Muhyiddin Yassin digesa bertanggungjawab atas kemurkaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berikutan kenyataan pembatalan Ordinan Darurat yang tidak sahih.

Gesaan itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Najib Razak dalam sebuah sidang media khamis lepas.

Beliau berpendapat Muhyiddin perlu memikul tanggungjawab sebagai ketua kerajaan dan meletak jawatan sebagai perdana menteri.

“Saya berpendirian bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin mesti bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku, dan pilihan terbaik adalah untuk beliau berundur secara berhormat"

“Saya pernah menjadi ketua kerajaan selama sembilan tahun, saya tahu bahawa urusan ini adalah urusan perdana menteri bersama Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh diwakili oleh menteri-menteri atau pihak yang lain” ujarnya.

Najib menjelaskan kenyataanya memohon Muhyiddin mengundurkan diri tidak bersifat peribadi, tetapi atas prinsip melancarkan urusan kerajaan, demokrasi berparlimen serta sistem berpelembagaan.

Tambahnya lagi, peletakan jawatan Muhyiddin adalah jalan penyelesaian untuk mengelakkan pentadbiran negara diganggu gugat.

“Pentadbiran mesti berjalan dengan lancar demi kepentingan rakyat.

“Rakyat ramai yang menderita masa ini, jadi kita perlukan satu pentadbiran yang berjalan dengan lancar dan dapat menyelamatkan negara daripada pandemik serta ekonomi yang semakin meruncing,” katanya.

Video penuh sidang media boleh diakses di akaun Facebook Najib Razak.

-- Wide TV