Rahsia kerajaan bocor, PAS lapor polis

 

Mustaman memegang laporan polis yang dibuat di Balai Polis Bandar Sandakan.

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - DEWAN Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) membuat laporan  polis susulan dakwaan wujud penyebaran surat rasmi kerajaan dipercayai telah dikeluarkan oleh Istana Negara kepada Perdana Menteri bertarikh 29 Julai 2021.

Ketua Penerangan DPPS, Mustaman Mustain berkata, laporan polis itu dibuat bagi menyiasat kesahihan perkara itu dan mengenalpasti punca kebocoran maklumat sulit tersebut.

"Saya (mewakili DPPS) telah membuat laporan polis susulan penyebaran surat yang didakwa sebagai surat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada YAB Perdana Menteri bertarikh 29 Julai tempoh hari.

"Surat tersebut jika benar wujud tentunya merupakan surat rahsia dan terhad, yang sepatutnya hanya untuk dibaca oleh penerimanya sahaja iaitu YAB Perdana Menteri," katanya dipetik daripada hantaran facebook hari ini.

Mustaman berkata, perbuatan menyebarkan surat rasmi itu yang didakwa dilakukan pemimpin pembangkang juga bercanggah dengan undang-undang perlindungan rahsia rasmi kerajaan.

"Tindakan tidak beretika dengan menyebarkan surat tersebut kepada umum, yang dimuat naik oleh sebahagian pimpinan Pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi (1972)," katanya.

Jelas beliau, perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilihat cubaan menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

Tambahnya lagi, jika tindakan seumpama itu tidak dibendung dikhuatiri akan menimbulkan polemik, kekecohan dalam kalangan masyarakat.

"DPPNS menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenalpasti punca kebocoran surat ini yang dilihat cuba menggugat kestabilan dan keharmonian negara selain telah menimbulkan polemik, kekecohan dalam kalangan masyarakat, serta menampakkan seolah berlakunya krisis di antara Istana dan Eksekutif," ujarnya.

-- Wide TV

Catat Ulasan

0 Ulasan