Keratan artikel wtvmedianews.com
AMRULLAH ABDUL KARIMamrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - ARTIKEL bertajuk 'Tiada dokumen, berjemur di bawah matahari menunggu giliran vaksin' mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Rata-rata memberikan reaksi yang tidak senang dengan kandungan artikel tersebut kerana seakan cuba menimbulkan salah faham dan tanggapan negatif pihak tertentu termasuk Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Tidak kurang juga yang melahirkan simpati dengan nasib penerima vaksin yang berpanas ketika menunggu giliran di PPV tersebut.
Bagaimanapun, perkongsian seorang petugas Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) di PPV Dewan Libaran yang menghubungi Wide TV memberikan gambaran sebenar mengenai isu itu.
Beliau yang hanya dikenali sebagai Nizam menjelaskan, keadaan itu memang berlaku kerana masalah kekurangan fasiliti di PPV tersebut.
Menurutnya, perkara itu tidak dapat dielakkan dan keutamaan perlu diberikan kepada penerima vaksin warganegara Malaysia.
"Sebenarnya kami juga berpanas dengan mereka sebab kaunter pendaftaran ada di kawasan itu.
"Memang tidak ada pilihan (terpkasa berpanas) sebab khemah tidak cukup.
"Cuma kami pastikan agar pemberian vaksin dapat disegerakan walaupun (kategori) bukan warganegara Malaysia sepatutnya bermula jam 1 petang," katanya.
Menurut Nizam lagi, tiada siapa mahu keadaan itu berlaku namun mereka tiada pilihan selain terpaksa berpanas ketika menunggu giliran sehingga semuanya selesai.
Tambahnya, MyVAC pernah membuat permohonan kepada pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk mendapatkan khemah tambahan, namun semuanya telah digunakan di beberapa PPV lain.
Komen Azizan Rahayu
Seorang pekerja di PPV Dewan Libaran dikenali sebagai Azizan Rahayu menjelaskan, proses pendaftaran dan pengambilan vaksin bagi bukan warganegara Malaysia dianggap rumit.
Namun katanya, semuanya akan mendapat nombor giliran dan duduk di bawah khemah setelah didaftarkan.
"Semua pun akan duduk di dalam canopy sekiranya ada dapat nombor dan juga ID My sejahtera.
"Proses untuk mereka yang tiada dokumen adalah rumit, mereka akan dapat juga giliran duduk di dalam kanopi selepas menerima ID," katanya.
Azizan menasihatkan mereka yang tidak memahami proses dan carta aliran pemberian vaksin agar merujuk terlebih dahulu pihak berwajib bagi mengelakkan salah faham.
Beliau turut meminta kepada mana-mana pihak yang bersimpati dengan keadaan di PPV tersebut agar tampil menyumbang khemah dan kerusi.
Azizan mohon sumbangan khemah & kerusi.
-- Wide TV
0 Ulasan