'Tidur dengan jenazah'

 

KEPENATAN - Kru Abam Botak tidur sebelah mayat.

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - KEPENATAN yang tidak terperi rasanya sehingga tertidur di sebelah jenazah yang hendak dikebumikan.

Sampai begitu sekali penatnya Pasukan Van Jenazah Abam Botak ketika mereka dalam perjalanan menguruskan pengebumian jenazah Covid-19.

Mungkin tidak ada masa dan ruang untuk mereka rehat kerana memikul tanggungjawab menguruskan pengebumian mangsa Covid-19 di daerah ini.

Kesudahannya, hanya tempoh perjalanan yang sedikit panjang menuju ke tanah perkuburan digunakan untuk melelapkan mata sekalipun terpaksa berbaring di sebelah jasad yang berbalut kain kafan.

Apa yang diharapkan oleh Yunizam Yusop atau lebih dikenali sebagai Abam Botak adalah doa daripada warga Sandakan agar pasukannya kekal kuat.

"LELAH.

"Doakan kami kekal kuat Sandakan.

"Semua sudah kepenatan masa ni sehingga tertidur dengan jenazah sudah," katanya menerusi entri facebook Abam Botak hari ini.

Beliau hanya mampu menyerahkan segalanya kepada Allah SWT agar urusan mereka dipermudahkan.

"Semoga Allah membayar perniagaan ini dengan mahar yang mahal," katanya.

Pasukan Van Jenazah Abam Botak menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma di Sandakan bagi membantu waris yang kurang berkemampuan menguruskan jenazah hingga ke liang lahad.

-- Wide TV

Catat Ulasan

0 Ulasan