YB Alias sentuh pasal telur...


YB Alias menerusi Facebook

Mahu KPDNHEP bawa penyelesaian.

NURAIDAH MUHD TAHIR 
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – BEKALAN telur ayam semakin kritikal walaupun telah dimaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bahawa bekalan akan segera stabil dalam masa terdekat.

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N53 Sekong, Alias Sani menerusi posting di akaun Facebook miliknya sebentar tadi.

Alias mengeluarkan kenyataan berkenaan kekesalan beliau terhadap kekurangan stok telur ayam dan kegelisahan masyarakat Sandakan dengan keadaan itu yang dilihat seperti tidak mendapat perhatian daripada mana-mana pihak yang bertanggungjawab.

Justeru, Alias mencadangkan beberapa langkah yang wajar diambil untuk mengelakkan perkara tersebut berterusan di masa akan datang.


“Mengehadkan buat sementara pembelian borong hanya untuk telur saiz A dan AA.

“KPDNHEP memantau penjualan telur yang dibungkus semula agar tiada yang mengambil peluang menyembunyikan bekalan dan membuat keuntungan berganda.

“Mendapatkan bekalan telur dari luar daerah sebagai langkah jangka pendek menstabilkan bekalan telur di pasaran,” jelasnya.

Alias berkata, beliau akan cuba mengatur perjumpaan dengan pihak KPDNHEP untuk mendapatkan maklumat lanjut agar perkara ini dapat diselesaikan dengan segera.

-- Wide TV