SANDAKAN - ATLET paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli telah berjaya merangkul pingat emas, seterusnya memecahkan rekod dunia di temasya Paralimpik Tokyo 2020 bagi acara lontar peluru.
Kegembiraan rakyat Malaysia tidak kekal lama selepas kem Ukraine melakukan bantahan atas kemenangan Ziyad dan menyebabkan pingat emas beliau telah ditarik balik.
Ukraine melakukan bantahan sebaik acara tersebut tamat dengan mendakwa atlet Malaysia yang berusia 31 tahun itu sebenarnya terlambat melaporkan diri ke ‘call room’.
Bantahan mereka ketika ini diterima oleh pihak penganjur dan menarik balik pingat emas Ziyad, dan kini ia menjadi milik Maksym Koval atlet dari Ukraine.
Chef-de-Mission (CDM) Malaysia, Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin, dikhabarkan telah bekerjasama dengan Ecuador dan Australia untuk membantah keputusan yang telah dibuat penganjur.
“Saya sudah buat yang terbaik. Tidak tahu saya nak cakap."
“Saya tidak tahu sebab jauh dari mereka (pegawai Malaysia yang sedang membuat bantahan)."
“Saya tunggu keputusannya sahaja", kata Ziyad yang dipetik dari Nadi Arena.
Ziyad berjaya memecahkan rekod dunia ketika melakukan lontaran ketiganya dengan catatan 17.94m, namun rekod dunia itu juga berkemungkinan tidak akan diiktiraf andai penyertaan beliau dibatalkan.
-- Wide TV | The Sukan | Astro Arena