SANDAKAN – TIDAK tahu apa motifnya, sampaikan dua laman web milik Semarak Niaga Holding Sdn Bhd (Semarak Niaga) dan Maahad Tahfiz Nurul Quran Darul Ilmi (MTNQDI) digodam.
Kejadian itu disedari pengendali laman sesawang SNHSB pada pagi Isnin ketika memasuki dua laman www.semarakniaga.com dan www.mtnqdi.com.
Bagaimanapun, kedua-dua laman web tersebut tidak ada sebarang konten dan muatan maklumat.
Apa yang jelas perbuatan menggodam itu dilakukan oleh pihak atau individu tidak bertanggungjawab dan bermotif jahat.
Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Semarak Niaga, Alden Martinez sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pelaku terbabit.
Menurutnya, tindakan paling wajar adalah melalui perundangan kerana siasatan menyeluruh dapat dilakukan dan beliau percaya suspek akan tertangkap.
“Bermula dengan laporan polis kemudian kita susuli dengan tindakan lain yang kami fikirkan wajar dan mengikut lunas undang-undang.
“Kita percaya dengan tindakan dan siasatan polis, jadi kita serahkan sepenuhnya kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, perbuatan suspek tidak boleh diterima kerana memberi kesan yang tidak baik dan menjejaskan operasi digital Semarak Niaga.
Tambah beliau, tuntutan ganti rugi juga akan dibuat terhadap pelaku bagi mengimbangi kerugian yang dialami susulan perbuatan itu.
Bukan saja Semarak Niaga, Pengerusi MTNQDI, Ustaz Mulyadi Kasimin (UMK) turut melahirkan rasa kesal terhadap apa yang berlaku kerana kesannya turut dirasai seluruh keluarga maahad tahfiz yang dinaunginya.
Menurutnya, beliau menyokong tindakan diambil Semarak Niaga sebagai pengendali laman web MTNQDI dan menyerahkan segala kebijaksanaan kepada syarikat tersebut.
-- Wide TV
0 Ulasan