Sandakan catat kematian tertinggi di Sabah

Datuk Masidi Manjun


NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – JURUCAKAP Covid-19 negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun melaporkan Sandakan dengan catatan tertinggi kematian akibat kes Covid-19, dalam kenyataan media semalam.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata sebanyak 21 daripada 54 jumlah kematian keseluruhan yang direkodkan di Sabah merupakan kes daripada kota Sandakan.

“Selain itu, sebanyak enam kes kematian dilaporkan di Lahad Datu, tiga kes di Kota Kinabalu, masing-masing dua kes di Keningau dan Papar, manakala masing-masing satu kes kematian di Semporna, Sipitang, Ranau, Kinabatangan, Penampang dan Kunak.

“Secara keseluruhan, Sabah mencatat sebanyak 2,067 kes semalam, menurun sedikit berbanding 2,107 kes kemarin”, ujarnya.

Jelas Masidi, kes kematian akibat Covid-19 di Sabah menunjukkan peningkatan sembilan kes berbanding 45 kes semalam.

Tambahnya lagi, seramai 5,668 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh di Sabah semalam, manakala seramai 4,983 pesakit sedang menerima rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Dr Francis Paul (kiri), Tan Sri Andrew Liew Sui Fatt (tengah), Dr Tan Ka Hock (kanan)

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Andrew Liew Sui Fatt menyumbangkan 100 set katil sementara untuk Hospital Duchess of Kent (HDOK) bagi kegunaan pesakit Covid-19.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Pengarah Hospital, Dr Francis Paul di pejabatnya disaksikan oleh Timbalan Pengerusi MCPF, Dr Tan Ka Hock.

Terdahulu, wad perempuan HDOK ditukar menjadi wad pesakit Covid-19 untuk menampung pertambahan pesakit akibat pandemik yang semakin meningkat. 

-- Berita Harian | Daily Express | Wide TV