"Sediakan duit saman" - Alden

 

Laporan polis berhubung laman web digodam

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN - SUSPEK kes godam dua laman web milik Maahad Tahfiz Nurul Quran Darul Ilmi (MTNQDI) dan Semarak Niaga akan berdepan tindakan saman.

Demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif, Semarak Niaga Holding Sdn Bhd (Semarak Niaga), Alden Martinez selepas membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Bandar Sandakan hari ini.

Beliau menegaskan, individu tidak bertanggungjawab yang dinamakan sebagai suspek dalam kes penggodaman laman web tersebut wajar dikenakan tindakan tegas di atas perbuatan yang telah dilakukan.

"Saman adalah jalan terakhir yang akan kita ambil selepas mengambil kira segala aspek termasuk kos kerugian dan kesan buruk perbuatan suspek.

"Bukan satu website yang digodam tapi dua. Kedua-duanya menyimpan maklumat yang sangat penting dan pencerobohan maklumat ini berunsur khianat," katanya kepada Wide TV.

Alden berkata, Semarak Niaga telah mengenalpasti suspek yang melakukan kegiatan jenayah siber itu.

Menurutnya, laporan polis yang dibuat turut menyelitkan nama suspek terbabit.

Ujarnya, siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan dan pihak polis telah mengambil keterangan pengadu berkaitan jenayah itu.

Tambah Alden, beliau tidak menolak kemungkinan wujud individu lain di sebalik kegiatan itu sehingga suspek bertindak menggodam laman web tersebut.

Laman web www.mtnqdi.com dan www.semarakniaga.com digodam pada Ahad, 5 September lalu.

Kejadian itu disedari pengendali laman web Semarak Niaga ketika membuka dua laman web tersebut.

-- Wide TV

Catat Ulasan

0 Ulasan