Alden (kiri) bersama Aisyah (kanan) ketika menyantuni keluarga ibu tunggal, sembilan anak di Kampung Bonggaya Baru, Batu Sapi.
AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my
amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - ORANG kurang upaya (OKU), warga emas dan asnaf antara 200 keluarga yang berjaya dijejaki sepanjang dua hari Kempen Jejak Prihatin digerakkan di sekitar daerah ini.
Menerusi kempen anjuran bersama Skuad Antidadah Daerah Sandakan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sandakan, Gerak Borneo dengan sumbangan penuh UstazUstazah.Com, telah mengagihkan bantuan barangan keperluan asas kepada semua keluarga yang terlibat.
Antara lokasi yang dikunjungi adalah di Kampung Seri Manis dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gum-Gum, Batu 16; Kampung Batu Putih dan Kampung Nelayan, Batu 7; Kampung Istimewa dan Kampung Bonggaya Baru, Batu Sapi.
Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Sandakan, Alden Martinez berkata, kempen tersebut berjaya mencapai matlamatnya terutama dalam menyantuni keluarga kurang berkemampuan di samping menghulurkan bantuan.
"Kempen Jejak Prihatin ini antara langkah yang dilaksanakan ke arah itu.
"Bukan sekadar sebarkan mesej kesedaran bahaya dadah, malah kami bantu keluarga yang dikunjungi dengan memberikan bakul makanan," katanya kepada Wide TV.
Agihan bantuan di Kampung Batu Putih
Kempen tersebut turut disertai Ketua Pegawai AADK Sandakan, Aisyah Abdul Karim bersama 10 pegawai dan kakitangan.
AADK membuat edaran risalah berkaitan maklumat pencegahan penyalahgunaan dadah kepada semua 200 keluarga terlibat.
Agihan bantuan di Kampung Istimewa, Batu Sapi.
Menurut Aisyah, pasukannya melaksanakan program 'omnipresence' (rondaan) ke semua kawasan yang dikunjungi sepanjang dua hari kempen tersebut.
"Menerusi program 'omnipresence', masyarakat dapat merasai kewujudan AADK di dalam kehidupan mereka.
"Masyarakat perlu sedar mengenai kewujudan AADK dan dari situ mereka dapat menyalurkan segala bentuk maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah di dalam kawasan mereka.
"Pencegahan awal akan dapat dilakukan jika seluruh masyarakat sedar mengenai tanggungjawab bersama menangani penyalahgunaan dadah," katanya.
Aisyah (kanan) menyerahkan risalah sambil memberikan penjelasan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Aisyah turut berkesemparan menyampaikan taklimat ringkas berkaitan kesan daripada penagihan dadah kepada penduduk setempat.
Agihan bakul makanan di Kampung Nelayan, Batu Putih turut dibantu oleh Presiden Majlis Belia Daerah Sandakan, Raiman Nasrah yang merupakan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di perkampungan itu.
Dalam pada itu, wakil UstazUstazah.Com, Mohd Fakhrur Razi Mohd Yunos berpuas hati dengan pelaksanaan kempen tersebut dan bercadang untuk meneruskannya agar lebih ramai golongan memerlukan dapat dijejaki seterusnya dibantu.
-- Wide TV
0 Ulasan