Ada 'wow factor' pada Bajet 2022 - PM Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri


NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – BAJET 2022 berimpak tinggi merangkumi bantuan kepada golongan B40 termasuk pendidikan untuk anak-anak B40 serta sokongan untuk memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana mendapat akses pembiayaan untuk menggerakkan perniagaan mereka.

Demikian ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa mengulas tentang Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada Jumaat, esok.

Katanya, tiada golongan yang tercicir dan semua pihak akan mendapat faedah daripada pembentangan bajet tersebut, sama ada rakyat, peniaga ataupun mana-mana pihak yang terkesan daripada pandemik Covid-19.

“Semua akan mendapat faedah dari bajet yang akan diumumkan nanti, ini bajet Keluarga Malaysia dan inputnya dari rakyat, untuk rakyat yang juga akan memberikan kelegaan dan kegembiraan kepada rakyat.

“Ada wow factor padanya”, tambahnya.

Jelas Perdana Menteri, perangkaan Bajet 2022 berdasarkan tiga keperluan utama, iaitu meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras pembukaan sektor ekonomi secara perperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau juga membuka ruang untuk rakyat mengutarakan pendapat dan cadangan mereka untuk dipertimbangkan bagi pembentangan Bajet 2022.

“Rakyat juga boleh mengemukakan cadangan mereka menerusi portal bajet Kementerian Kewangan.

“Sebanyak 50,000 cadangan telah diterima menerusi Portal Belanjawan 2022 dan kerajaan akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan input-input tersebut dipertimbangkan”, jelasnya.

Dalam pada itu, nasib rider atau penghantar makanan perlu diambil kira kerana pekerjaan mereka yang sentiasa berhadapan dengan risiko pandemik serta keselamatan jalan raya.

Beberapa rider ditemu ramah Awani berkenaan harapan mereka bagi pembentangan Bajet 2022, esok.

“Kalau boleh khairat kematian itu perlu untuk waris anak dan isteri, sebab risiko kami tinggi.

“Perlu diperbanyakkan latihan kendiri individu, supaya rider boleh berkembang daripada kemahiran baru”, ujar mereka.

-- AWANI | Utusan Malaysia | Wide TV